RM18.3j Diperuntukkan Untuk Sundar

Foto Utusan Borneo
LAWAS: Sejumlah RM18.3 juta diperuntukkan kerajaan bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan di daerah kecil Sundar yang dijangka mampu memacu kawasan luar bandar di sini.

Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata projek itu membabitkan pembinaan bangunan baharu Pejabat Daerah Kecil Sundar bernilai RM3 juta yang dilaksanakan bulan ini.

“Antara yang dilaksanakan adalah Tebingan Sungai Sundar fasa kedua bernilai RM12 juta, Dermaga Sundar (RM300,000), Jeti Sundar menelan kos RM3 juta dengan keseluruhan kos projek bernilai RM18.3 juta,” katanya pada Majlis Perasmian Pembinaan Bangunan Baharu Pejabat Daerah Kecil Sundar dan Pecah Tanah Tebingan Sungai Sundar dan majlis Ramah-Tamah Aidilfitri Daerah Kecil Sundar 2016 semalam.

Turut hadir isterinya, Datuk Dayang Morliah Datuk Awang Daud, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Henry Sum Agong, Residen Limbang Datu Maria Hasman, Pegawai Daerah Lawas Hussaini Hakim, Pegawai Tadbir Daerah Kecil Sundar Ladin Atok dan tetamu lain.

Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan, Perdagangan dan Pelaburan itu berkata projek itu merupakan perancangan dibuat kerajaan dalam usaha mengubah landskap daerah Sundar.

Projek dijangka menjadi mercu tanda kawasan daerah kecil Sundar merupakan projek diilhamkan beliau sendiri.

Katanya kerajaan turut meningkatkan bekalan elektrik, air yang sering mendapat gangguan terutama di Awat-Awat selain mempelbagai aktiviti ekonomi untuk masyarakat.

“Kita juga membangunkan bangunan kuarters pegawai kerajaan, projek perumahan, jalan raya, perkhidmatan telekomunikasi dan pejabat ketua-ketua masyarakat,” jelasnya.

Beliau berkata dalam usaha memastikan agenda kerajaan itu akan sampai kepada rakyat dengan mudah pihaknya menempatkan agensi-agensi kerajaan, TEKUN, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), institusi kewangan dan agensi-agensi lain.

Jelasnya, projek Perintis Rimbunan Kasih (PRK) yang pertama diperkenalkan di daerah kecil Sundar, Lawas negeri ini harus menjadi penggerak merancang pembangunan bukan sekadar memberi peluang pekerjaan tetapi memberi ruang kepada masyarakat membangunkan tanah masing-masing.

PRK bernilai RM50 juta daripada kerajaan pusat dan negeri merupakan model perniagaan berkonsepkan pembangunan holistik meningkatkan pendapatan masyarakat terutama di Sundar dan Awat-Awat, Lawas. -UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA