Risiko Jangkitan Zika Di Olimpik Kian Menurun


RIO DE JANEIRO: Risiko jangkitan virus Zika pada Olimpik Rio adalah rendah dan sudah diatasi, kata pegawai kesihatan Brazil, lima hari menjelang bermulanya temasya di negara Amerika Selatan itu.

Setiausaha Kesihatan Rio de Janeiro, Daniel Soranz, berkata Zika tidak sepatutnya menghalang pelancong untuk datang ke temasya itu apabila kes virus berkenaan menurun dengan ketara sejak beberapa bulan lalu.

Virus bawaan nyamuk itu dikaitkan dengan mikrosefali, kecacatan kelahiran bayi bagi ibu hamil yang dijangkiti Zika dan penemuannya di Brazil tahun lalu membawa kepada kebimbangan mengenai temasya itu, yang dijangka menarik kehadiran kira-kira 500,000 pengunjung.

Bagaimanapun, dengan cuaca kering dan sejuk di Rio, Zika dan penyakit bawaan nyamuk yang lain seperti denggi dan Chikungunya sudah menurun mendadak dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

"Sejak November tahun lalu, kami sudah menunjukkan unjuran dan kajian saintifik yang menyaksikan ia tidak akan menjadi isu ketika Sukan Olimpik.

"Sejak dua minggu sebelum temasya, bilangan kes hampir tiada. Di bandar, kes sangat jarang berlaku dan bagi kami, ia adalah satu isu yang sudah diatasi," kata Soranz pada sidang akhbar.

Kira-kira 500,000 pengunjung dijangka hadir ke Sukan Olimpik Rio, yang bukan saja dibayangi Zika tetapi juga kebimbangan terhadap jenayah dan kelewatan infrastruktur disiapkan. - REUTERS

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA