Rio 2016: Yayasan Sime Darby Beri Ganjaran RM100,000 Kepada Azizulhasni

Foto AFP

KUALA LUMPUR: Yayasan Sime Darby (YSD), sebuah organisasi kebajikan di bawah Sime Darby Berhad, akan menghadiahkan ganjaran berjumlah RM100,000 kepada pelumba trek negara, Azizulhasni Awang, selepas kejayaannya membawa pulang pingat gangsa pada Sukan Olimpik Rio 2016.

Pengumuman pemberian ganjaran itu dibuat sendiri oleh Tun Musa Hitam, Pengerusi YDB.

"Kami berbangga untuk mengumumkan ganjaran RM100,000 untuk Azizul atas sejarah yang dilakarkannya.

"Di sebalik gangguan pada saingan akhir, anda tidak mengalah dan itu membuatkan kemenangan anda lebih bermakna.

"Terima kasih juga kepada kru kejurulatihan yang diketuai jurulatih, John Beasley, yang telah berusaha bersungguh-sungguh," kata Tun Musa.

Azizul merupakan salah seorang atlet yang mendapat tajaan YSD untuk kempen pingat emas di Sukan Olimpik sejak tahun 2009.

Pelumba yang berasal dari Dungun, Terengganu itu juga menerima biasiswa dari YSD berjumlah RM456,000 untuk membiayai pengajian di peringkat ijazahnya di Victoria University, Melbourne.

November tahun lalu, Azizul menjadi pelajar luar negara pertama yang dianugerahkan Full Blue Award oleh universiti berkenaan, atas pencapaiannya dalam sukan. - Astro Awani

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA