Rio 2016: Peng Soon-Liu Ying selangkah lakar sejarah


BEREGU campuran negara Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, mencipta sejarah gemilang apabila memastikan pingat emas atau perak berada dalam genggaman, setelah melangkah ke perlawanan akhir menewaskan seteru mereka dari China, Xu Chen-Ma Jin, 21-12 dan 21-19.



Peng Soon dan Liu Ying, dilihat tidak mengalami kesukaran untuk menewaskan pasangan dari China di set pertama apabila menang mudah 21-12.



Di set kedua menyaksikan Xu Chen dan Ma Jin, tidak memberikan laluan mudah buat beregu campuran negara, apabila meninggalkan mereka dengan mata 6-10 pada seketika.



Peng Soon dan Liu Ying mengorak langkah untuk terus bangkit, apabila mengejar beregu China itu untuk menjadikan kedudukan 10-11.

Kedudukan rapat sehingga menyaksikan ada ketika pasangan beregu itu mengikat satu sama lain dengan mata yang sama.



Peng Soon menyifatkan kejayaan mereka menewaskan pasangan dari China itu hasil persiapan yang rapi.



"Kami sangat teruja. Kami gembira. Kami buat persiapan yang rapi untuk perlawanan separuh akhir ini. Tidak berfikir apa-apa ketika beraksi dan hanya fokus untuk memberikan yang terbaik. 



"Terima kasih kepada jurulatih yang memastikan kami membuat persiapan mental secukupnya, kami banyak berbincang dengan jurulatih sebelum perlawanan. Jurulatih selalu ingatkan sentiasa fokus. Jadi terima kasih banyak-banyak kepada jurulatih," jelas Peng Soon

.

Bagi Liu Ying pula, keputusan yang di ambil untuk menjalani pembedahan lutut dan beraksi di sukan Olimpik Rio adalah berbaloi.



"Sangat berbaloi saya membuat keputusan untuk ke Sukan Olimpik. Walaupun belum pasti pingat apa dalam genggaman, tapi sudah pasti akan ada satu pingat. Kalau sebelum ini beregu campuran jarang untuk melangkah jauh dalam perlawanan besar, kini kami mampu untuk melakar sejarah," tambah Liu Ying.



Gandingan negara akan bertemu pemenang satu lagi separuh akhir antara Zhang Nan-Zhao Yunlei, dari China, dan pasangan Indonesia, Ahmad Tontowi-Liliyana Natsir, esok.-Awani

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA