Ribuan Jemaah Haji Dapat Manfaat Rel MMMSL


KUALA LUMPUR: Rel Al Mashaaer Al Mugaddassah Metro Southern Line (MMMSL) yang bakal memberi perkhidmatan tren kepada ratusan ribu jemaah haji di tanah suci Makkah akan beroperasi lebih cekap dan mantap dalam operasi tahun keduanya, tahun ini.

Konsul Besar Malaysia di Jeddah, Mohammad Ali Selamat, berkata perkhidmatan tren kendalian Prasarana Malaysia Berhad (PRASARANA) itu penting untuk keselesaan jemaah haji, sekali gus mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

"Berbekalkan pengalaman sedia ada dan doa daripada kami di pejabat Konsul General di Jeddah serta seluruh rakyat Malaysia, saya yakin operasi tahun ini akan berjalan lancar dan lebih mantap daripada apa yang dilaksanakan tahun lalu.

"Saya harap seluruh warga kerja MMMSL khususnya daripada PRASARANA sendiri akan memberikan komitmen penuh kepada operasi ini. Bagi kami di Arab Saudi, MMML adalah satu projek yang ikonik untuk Malaysia," katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Terdahulu, Mohammad Ali diiringi Pesuruhjaya Perdagangan Malaysia di Arab Saudi, Khairul Annuar Abdul Halim dan pegawai tinggi pejabat Kedutaan Malaysia di Arab Saudi melawat operasi syarikat terbabit.

Berdasarkan kepada lokasi penempatan jemaah yang ditetapkan mengikut negara, perkhidmatan MMMSL digunakan sepenuhnya oleh jemaah dari negara Asia Barat dan Asia Selatan.

Beroperasi selama tujuh hari setahun khususnya untuk musim haji, kerja penyelenggaraan dan ujian untuk tren dan sistem berjalan sepanjang tahun mengikut jadual kerja ditetapkan Kerajaan Arab Saudi.

Untuk musim haji 1437H, kerja percubaan operasi sepenuh masa 24 jam sehari sedang giat dijalankan sejak 9 Julai lalu dan bakal berakhir pada 5 September ini, sebelum operasi sebenar bermula dua hari kemudian pada 7 September.

Dalam pada itu, Pengarah Projek MMMSL, Ahmad Jamaluddin Salleh, berkata pihaknya sudah bersedia memberikan perkhidmatan lebih mantap musim ini.

Katanya, persiapan untuk tahun ini bermula sebaik saja berakhir musim haji tahun lalu serta MMMSL melaksanakan tanggungjawab diberikan Kementerian Hal Ehwal Perbandaran dan Luar Bandar Arab Saudi (MOMRA) dengan jayanya.

"Berbeza dengan tahun lalu, MMMSL kini diletakkan di bawah pengawasan Lembaga Pembangunan Makkah (MDA) yang memberikan kerjasama amat baik dan komitmen yang tinggi bagi memastikan projek ini berjaya pada tahun pertama kendaliannya," katanya. -BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA