Remaja Sabah Diarah IS Sembelih Bukan Islam - KPN


KUALA LUMPUR: Sembilan suspek ahli kumpulan militan IS, termasuk tiga warga asing ditahan dalam tempoh 21 hari sejak 20 Julai lalu kerana dipercayai terbabit dalam pelbagai rancangan, termasuk menyembelih orang bukan Islam di Sandakan, Sabah.

Arahan untuk menyembelih orang bukan Islam itu, diberikan oleh seorang rakyat Malaysia yang berada di Syria, kepada seorang remaja berusia 17 tahun, yang ditahan di Sabah dalam operasi besar-besaran oleh Bahagian Anti Pengganas, Cawangan Khas, Bukit Aman di sekitar Kuala Lumpur, Sabah, Kelantan dan Johor.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata tiga daripada suspek terbabit adalah adalah warga asing, yang juga bekas anggota tentera dan mereka ditahan kerana dipercayai bersubahat dalam serangan bom ke atas pusat hiburan Movida di Puchong, pada 28 Jun lalu.

"Remaja berusia 17 tahun itu merancang melakukan serangan 'Lone Wolf' dengan menyembelih orang bukan Islam di Sandakan selepas menerima arahan daripada anggota IS di Syria.

"Remaja berkenaan juga mengancam untuk membunuh Ketua Polis Negara melalui akaun Facebook miliknya," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Khalid berkata, dua lagi suspek iaitu Jasanizam Rosni dan Md Saifuddin Muji, ditahan Selasa lalu, selepas dipercayai bersembunyi di sebuah pondok di kawasan berbukit di Kuala Krai, Kelantan sejak awal bulan lalu dan menunggu arahan dari Mohamad Wanndy Mohamad Jedi untuk melancarkan serangan ke atas pusat hiburan di Johor Bahru.

"Susulan daripada tangkapan mereka, polis merampas sebutir bom tangan jenis M67 yang disembunyikan di Rengit, Batu Pahat, disyaki akan digunakan dalam serangan yang dirancang," katanya dalam satu kenyataan di sini, sebentar tadi. -BH


No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA