Rancangan Kenaikan Elaun Anggota Majlis Tempatan Belum Ada Kata Putus

KANOWIT, 11 Ogos (Bernama) -- Rancangan untuk menaikkan elaun anggota majlis berkuasa tempatan di negeri Sarawak masih belum mencapai kata putus, kata Menteri Muda Kerajaan Tempatan Datuk Dr Penguang Manggil.

Beliau berkata pihaknya telah membincangkan perkara itu yang turut menyentuh mengenai pemberian gaji kepada anggota majlis, namun belum ada sebarang keputusan dibuat.

"Sehingga kini, anggota majlis tempatan telah menerima faedah seperti dari segi perubatan yang sama seperti penjawat awam gred 41," katanya selepas menyaksikan majlis Angkat Sumpah Anggota Majlis Daerah Kanowit (MDK) di sini hari ini.

Anggota majlis tempatan di negeri ini menerima elaun RM100 bagi menghadiri mesyuarat, RM50 untuk menghadiri majlis tertentu selain boleh membuat tuntutan perjalanan rasmi.

Terdahulu, Anggota Dewan Undangan Negeri Ngemah Alexander Vincent dalam ucapannya meminta kerajaan untuk mencari jalan agar anggota-anggota majlis tempatan dapat diberikan gaji bagi tugas-tugas yang mereka laksanakan.

Sementara itu, Penguang turut menggesa agar majlis-majlis tempatan Sarawak memikirkan cara yang terbaik untuk meningkatkan perolehan hasil mereka.

Katanya, ada majlis tempatan seperti MDK yang berada dalam keadaan yang tenat kerana tidak mempunyai hasil yang cukup untuk melaksanakan program-program pembangunan dan terpaksa bergantung kepada geran kerajaan semata-mata.

"Anda perlu berfikir di luar kotak bagi meningkatkan perolehan hasil agar pembangunan dapat dilaksanakan di kawasan di bawah jagaan anda," katanya.

Pada majlis itu, 31 anggota MDK mengangkat sumpah termasuk pengerusinya Katis Noel Nyabong yang juga pegawai daerah Kanowit dan timbalan pengerusi Benjamin Angki Kaboy. -- BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA