Ramai Pekerja Haram Malaysia Di Australia Diusir


CANBERRA – Pihak berkuasa Australia berjaya menghalang ramai rakyat Malaysia yang cuba masuk ke negara itu untuk bekerja secara haram selepas pemeriksaan secara besar-besaran dijalankan baru-baru ini.

Pasukan Sempadan Australia (ABF) pada Khamis mengeluarkan kenyataan larangan kemasukan terhadap 11 rakyat Malaysia yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Gold Coast pada 20 Ogos lalu kerana dipercayai mahu bekerja secara haram sebaik dibenarkan masuk.

Kesemua warga Malaysia itu kemudian sudah dihantar pulang ke Kuala Lumpur, kata Penolong Pesuruhjaya Pusat Sempadan Strategik, Clive Murray yang dipetik media tempatan sekali gus mencetuskan persoalan mungkin ramai berjaya bolos sebelum ini tanpa dikesan.

Beliau seterusnya berkata pengusiran terbaharu itu menunjukkan ABF amat berhati-hati terhadap mereka yang cuba memasuki Australia untuk bekerja secara haram dengan taktik popular iaitu menyamar sama ada sebagai pelancong asing atau menjadi pelajar antarabangsa.

“Ini adalah isu yang penting dan pegawai ABF pada masa ini perlu memiliki kepakaran tambahan selain maklumat risikan bagi memastikan pekerja haram warga asing segera ditahan di setiap pintuk akses imigresen sebelum mereka mampu menembus masuk ke negara ini.

“Sebenarnya memang ada saluran imigresen bagi mereka yang berhasrat datang ke negara kami untuk bekerja dengan cara sah, bagaimanapun jika anda ditangkap berbuat demikian secara haram, anda akan terus dihantar pulang ke negara asal,” terang Murray lagi.


Pengusiran terkini itu sebagai tambahan kepada sejumlah 44 pekerja haram dari Malaysia yang berjaya dihalang ABF daripada memasuki Australia masing-masing di terminal lapangan terbang antarabangsa di Gold Coast dan Perth pada 30 Julai lalu atas alasan sama.

Ini adalah kali kedua dalam tempoh seminggu, sekumpulan rakyat Malaysia dikenakan tindakan tegas oleh pihak berkuasa imigresen Australia dan negara itu lazimnya akan segera mengusir pendatang tersebut di samping kaedah penjara di depoh tahanan sementara.

Sehari sebelum itu, media Australia melaporkan ABF dan pihak polis menangkap 34 rakyat Malaysia yang didapati bekerja secara haram di sebuah ladang beri biru di Coffs Harbor, New South Wales selepas mendapat maklumat aduan daripada penduduk tempatan sendiri.

Ladang itu dipercayai sebahagian daripada sindiket pembekal pekerja haram yang mengupah pekerja asing di bandar pantai peranginan Woolgoolga. Seramai 14 daripada warga Malaysia itu bekerja secara haram, manakala 20 lagi terus bekerja walaupun visa tamat tempoh.

Tahanan dewasa biasanya dibawa ke Pusat Tahanan Imigresen Villawood untuk pemeriksaan dokumentasi sebelum dihantar pulang negara asal sementara anak-anak mereka pula dipindahkan terlebih dahulu ke sebuah tempat tahanan alternatif sebelum balik ke Malaysia.

Setiap tahun, lebih 6,000 rakyat Malaysia dikesan menetap di Australia secara haram iaitu kedua tertinggi selepas China sekitar 7,000 orang malah mengatasi pendatang asing dari Amerika Syarikat, Britain dan India yang masing-masing berada tempat ketiga, keempat dan kelima.

Menteri Imigresen dan Perlindungan Sempadan Asutralia, Peter Dutton berkata bahawa rangkaian jenayah buruh domestik dan luar menjadi topik utama siasatan jenayah sambil menyatakan: “Operasi ini memberi isyarat keras kepada individu dan sindiket yang terbabit.

“Jika anda berhasrat mahu berada di Australia tanpa ada visa yang sah, atau sekiranya anda ingin bekerja tetapi dengan sengaja melanggar syarat visa atau jika anda warga Australia sendiri mengeksploitasi pekerja warga asing, anda akan ditangkap,” tegas beliau.

Mereka yang ditangkap sekiranya disabitkan kesalahan oleh mahkamah sama ada penganjur visa palsu atau pekerja haram bakal berdepan dengan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda sehingga A$100,000 (RM308,072.48) – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA