Rakyat Singapura ‘Terhibur’ Dengan Nombor Plat 1M4U


JIKA di Malaysia, nombor plat 1M4U yang terdapat pada sejumlah kenderaan lazim dilihat di atas jalanan sehinggakan ia tidak menjadi suatu perkara yang pelik buat kita di sini.

Namun, sekiranya nombor plat serupa kebetulan ‘masuk’ di negara jiran, Singapura, ianya mencetuskan satu situasi ‘mudah terhibur’ buat ramai penduduk di pulau republik kecil itu sendiri.

Ini kerana mereka merasakan nombor plat tersebut sebagai sesuatu yang unik dan membawa maksud dalam bahasa Inggeris berbunyi sebagai ‘I am for you‘ iaitu saya adalah untuk kamu.

Hal itu menjadi viral di sana selepas seorang netizen memuat naik gambar sebuah kereta Proton Preve yang bernombor plat 1M4U 5333 sehingga menarik perhatian pengguna Internet di negara kota Singa itu.

Ramai dikatakan menyangka ia plat istimewa walhal, di Malaysia, nombor plat khas itu sebenarnya membawa mesej ‘1 Malaysia For Youth‘, yang ditujukan khas buat komuniti belia di tanah air.

Selain 1M4U, ada juga beberapa plat ‘special’ yang pernah dikeluarkan oleh pihak JPJ antaranya OIC, SUKOM, ASEAN, Bambee, Proton, Perodua, Patriot dan WAJA. – MYNEWSHUB.CC

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA