Rakyat Jaga Kesihatan, Kerajaan Pantau Situasi - Najib


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak meminta orang ramai mengambil langkah perlu bagi menjaga kesihatan terutama bagi kanak-kanak dan warga emas berikutan masalah jerebu yang kembali ke beberapa lokasi di negara ini.

Perdana Menteri berkata, kerajaan akan memantau situasi semasa dan mengambil tindakan sewajarnya bagi menangani masalah itu.

"Di luar pejabat saya nampak macam jerebu sudah kembali, juga di beberapa tempat lain. Kalau kawasan anda terbabit, ambil langkah jaga kesihatan, terutama bagi anak-anak kecil dan warga emas.

"Kerajaan akan terus memantau situasi ini dan ambil tindakan sewajarnya," katanya dalam entri terbaru di laman sosial Facebooknya, hari ini.

Cheras mencatatkan peningkatan secara mendadak bagi bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) dalam kategori sederhana iaitu sebanyak 84, sekali gus menjadikan kawasan berkenaan mencatatkan bacaan IPU yang tertinggi sehingga jam 2 petang tadi, berbanding bacaan 68 pada jam 1 petang.

Portal Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga mendapati daerah Nilai turut mencatatkan peningkatan IPU dalam kategori sederhana iaitu 82.

Semalam, bacaan IPU di Melaka di dua daerahnya iaitu Bandaraya Melaka dan Bukit Rambai mencatatkan bacaan yang tertinggi dalam kategori sederhana iaitu sebanyak 85 dan 83, sehingga jam 11 malam. -BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA