PVTMS Digesa Guna Pendekatan Berbeza Jaga Kebajikan Ahli


SIBU: Persatuan Veteran Tentera Malaysia Negeri Sarawak (PVTMS) digesa menggunakan pendekatan berbeza seperti melibatkan diri dalam aktiviti ekonomi bagi menjaga kebajikan ahli persatuan.

Dengan memberi cadangan itu, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Penyelidikan Sains dan Bioteknologi) Dr Annuar Rapa’ee berkata, ia akan menjana pendapatan dan kemudian dilabur semula untuk manfaat ahli dan persatuan itu.

“Untuk bergerak ke arah itu, persatuan juga boleh mempertimbangkan untuk menubuhkan koperasi atau aktiviti ekonomi lain yang akan membantu meningkatkan pendapatan mereka,” jelasnya.

Dr Annuar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kelima PVTMS yang diadakan di Dewan Kompleks Islam Sarawak Sibu, semalam.

Beliau berkata sebarang cadangan untuk aktiviti ekonomi persatuan boleh dikemukakan kepadanya atau Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) untuk dipertimbangkan.

“Kerajaan telah menyediakan peruntukan bukan hanya untuk individu dan syarikat, tetapi juga kepada ahli persatuan yang ingin menceburi bidang perniagaan dan keusahawanan.

“Saya berharap ahli persatuan dapat memberi tumpuan dalam aktiviti ekonomi yang akan dapat meningkatkan taraf hidup dengan pendapatan diterima,” ujarnya.

Menyentuh mengenai 12 usul yang dibincangkan dalam mesyuarat, Dr Annuar yang juga penasihat kehormat Persatuan Bekas Tentera Laut Diraja Malaysia (PBTLDM) berkata, majoriti usul adalah berkaitan.

Beliau berharap usul dikemukakan akan dikaji dengan teliti oleh pihak JHEV kerana ada yang telah berkali-kali disuarakan sebelum ini pada mesyuarat yang lepas.

Turut hadir Panglima Briged Kesembilan Infantri Malaysia Brigedier Jeneral Subari Tomo, Pengarah JHEV Cawangan Negeri Sarawak Leftenan Kolonel Dunging Serit, Pengurus PERHEBAT Negeri Sarawak Amli Mohd Yasih, wakil Ketua Polis Daerah Sibu dan Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah DSP Aswandy Anis, Presiden PVTMS Thomas Ling dan Temenggung Stanley Geramong. -UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA