PSG Sambar Bintang Real Madrid


Paris - Paris Saint-Germain (PSG) mengumumkan kelab itu menandatangani penyerang Real Madrid, Jese Rodriguez dengan harga STG21.2 juta (RM111.4 juta).

Pemain berusia 23 tahun itu masih mempunyai kontrak di Bernabeu tetapi memilih untuk berpindah ke Paris dan menyertai kelab juara Liga Perancis itu dengan perjanjian kontrak lima tahun.

Sebelum ini, Arsenal dan Liverpool turut dikaitkan dengan pemain serba boleh itu, tetapi Rodriguez lebih berminat menyertai PSG yang melengkapkan pembelian pemain kelima mereka pada musim ini.

Rodriguez yang akan menyarung jersi nombor 22 mengikut jejak langkah Hatem Ben Arfa, Grzegorz Krychowiak, Thomas Meunier dan Giovani Lo Celso berhijrah ke Perancis selepas sembilan tahun yang cemerlang di Madrid.

Dia menyertai skuad remaja Real pada 2007 dan mula menyertai skuad utama pada 2012.

Selepas bergambar bersama teman wanitanya, Aurah Ruiz di tepi padang kelab PSG, Rodriguez berkata, "Saya berbesar hati dapat menyertai PSG, ini adalah kelab yang sangat kompetitif di Eropah," katanya. - Agensi

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA