Protes #KitaLawan: Bekas bendahari Dewan Pemuda PAS Dihukum Penjara Lapan Bulan


KUALA LUMPUR: Bekas Bendahari Dewan Pemuda PAS Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah menyebut kata-kata menghasut berhubung tuntutan pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam siri protes jalanan #KitaLawan.

Hakim Shamsudin Abdullah dalam penghakimannya berkata mahkamah menjatuhkan hukuman itu kerana perkataan hasutan yang digunakan tertuduh mendatangkan kebencian dan ketidaksetiaan terhadap pentadbiran negara.

"Hukuman adalah untuk memberi pengajaran kepada tertuduh dan mereka yang cenderung melakukan kesalahan yang sama pada masa akan datang dan mengambil kira kepentingan awam agar keselamatan tidak tergugat.

"Mahkamah dengan ini menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan berkuat kuasa hari ini," kata hakim itu kepada tertuduh yang juga naib ketua Pemuda Amanah Nasional yang dilihat tenang di dalam kandang tertuduh.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman terhadap Mohd Fakhrulrazi, 38, yang juga penceramah bebas sehingga rayuan di Mahkamah Tinggi selesai dan menaikkan wang jaminan daripada RM1,000 kepada RM5,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.

Pada 8 September tahun lepas, Mohd Fakhrulrazi mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menyebut kata-kata menghasut itu di hadapan Kompleks Sogo, No. 190, Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini, pada 4.30 petang, 21 Feb 2015.

Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, peguam Ariff Azami Hussein mewakili Mohd Fakhrulrazi memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk denda mengambil kira ini merupakan kesalahan pertama anak guamnya.

Katanya mahkamah seharusnya memberi peluang kedua dan tidak menjatuhkan hukuman penjara terhadap tertuduh.

"Tertuduh sudah berkahwin, isterinya seorang guru dan mempunyai enam orang anak berusia 11 bulan sehingga 13 tahun telah beri kerjasama baik kepada pihak polis bagi membantu siasatan," katanya.
Peguam itu berkata tertuduh juga berpotensi dan berkemungkinan akan bertanding dalam pilihan raya umum akan datang dan memohon jumlah denda tidak melebihi RM2,000.

Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara bagi memberi pengajaran selain setimpal dengan kata-kata tertuduh yang berkencederungan menghasut.

Pihak pendakwaan telah memanggil lima saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes itu manakala tertuduh adalah saksi tunggal dalam prosiding membela diri. - Astro Awani

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA