Program Menjejaki ‘Iban Trackers’ Sudah Bermula

Foto Utusan Borneo
KUCHING: Panglima Divisyen Pertama Infantri Malaysia Mejar Jeneral Datuk Stephen Mundaw melancarkan program menjejaki ‘Iban Trackers’ bermula semalam.

Program untuk menjejaki veteran ‘Iban Trackers’ ini merupakan usaha beliau sendiri di bawah 1 Divisyen bersama Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Sarawak.

“Saya difahamkan ada 12 orang veteran ‘Iban Trackers’ berada di Lubok Antu dan mereka masih sihat, cuma seorang daripada mereka mempunyai masalah penglihatan dan pendengaran yang memerlukan bantuan.

“Kita akan menghantar kumpulan pencari bersama pasukan perubatan untuk mencari dan merekod maklumat mengenai ‘Iban Trackers’ kita yang berjaya dijejaki,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas upacara memperingati pahlawan di Makam Pahlawan, Jalan Taman Budaya di sini semalam sempena sambutan Hari Pahlawan dan Ulang Tahun 1 Divisyen Ke-50.

Terdahulu dalam amanat ringkasnya, Stephen berkata keutamaan bagi program menjejaki wira-wira ini akan diberikan kepada ‘Iban Trackers’ kerana kebanyakan mereka kini berusia 80 tahun dan ke atas.

Sehubungan itu, beliau memohon kerjasama daripada veteran-veteran tentera yang mempunyai maklumat mengenai ‘Iban Trackers’ untuk memaklumkan kepada beliau dan Pengarah JHEV untuk membolehkan pasukan pencari dan perubatan dihantar.

“Saya percaya lebih ramai ‘Iban Trackers’ yang mungkin berada bukan sahaja di Lubok Antu tetapi juga di Bau, Lundu, Kapit, Miri dan tempat lain yang perlu kita jejak dan bantu sedapat yang mungkin.

“Mereka ini bukan mengharapkan bantuan daripada kita tetapi mereka hanya mahu rakyat secara keseluruhannya tahu akan kewujudan mereka selama ini,” kata Stephen.

Mengulas mengenai upacara itu semalam, ia merupakan sebahagian daripada aktiviti sempena sambutan Hari Pahlawan bagi memperingati pahlawan-pahlawan yang telah gugur.

Turut hadir, Pengarah JHEV Sarawak Leftenan Kolonel Dunging Serit bersama ahli veteran, anggota 1 Divisyen termasuk jemputan daripada veteran Australia yang pernah berkhidmat di Sarawak dahulu. -UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA