Prestasi Cemerlang Atlet Warnai Sukma Sarawak

Foto : Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak

KUCHING :  Selepas 12 hari yang penuh drama dan aksi, edisi ke-18 temasya Sukan Malaysia (Sukma) yang menawarkan sejumlah 385 pingat emas menutup tirainya secara rasmi Ahad malam.

Majlis penutupan yang disaksikan lebih 40,000 penonton berlangsung gilang-gemilang di Stadium Sarawak.

Temasya kali ini boleh dibanggakan jika dilihat dari segi prestasi para atlet yang cukup baik dengan mencipta enam rekod kebangsaan dan 57 rekod Sukma berjaya diperbaharui.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menerima bendera Sukan Malaysia (SUKMA) daripada Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem. Perak akan menjadi tuan rumah SUKMA ke-19 pada tahun 2018

Untuk rekod, Sukma 2010 di Melaka masih mengekalkan pencapaian terbaik dari segi prestasi atlet dengan 15 rekod kebangsaan dan 88 rekod Sukma berjaya dipecahkan.

Sejumlah 1,453 atlet daripada keseluruhan 4,422 atlet yang menyertai Sukma ke-18 merupakan atlet di bawah program Majlis Sukan Negara (MSN).

Daripada jumlah tersebut, seramai 200 atlet adalah daripada Program Kita Juara (program persiapan Sukan SEA 2017); 248 atlet daripada Program Pelapis Kebangsaan manakala 1,005 atlet adalah daripada Program Pelapis Negeri.

Pencapaian cemerlang pada Sukma Sarawak menjadi medan terbaik untuk MSN mempersiapkan kontinjen terbaik negara bagi menghadapi Sukan SEA yang bakal dihoskan negara ini pada 2017.

Raja Pecut baharu negara, Khairul Hafiz Jantan dari Melaka merupakan atlet paling menyinar selepas memecahkan rekod 18 tahun acara 100 meter lelaki dengan catatan 10.18 saat, sekali gus memadam rekod terdahulu, 10.30s yang dicipta bekas pelari pecut kebangsaan, Watson Nyambek dari Sarawak pada 1998.

Pelajar Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail, Kota Tinggi itu turut memperbaharui rekod Sukma dalam acara 200m (21.03s) serta membantu kuartet Melaka mencipta rekod Sukma dalam acara 4x100m (39.89s) dan 4x400m (3:12.66s).

Tidak kurang juga dengan kehebatan atlet Majlis Sukan Negeri, Nur Aqilah Yusof yang dinobatkan sebagai Olahragawati Sukma ke-18 selepas berjaya meraih tiga pingat emas dan dua gangsa pada temasya kali ini dan memperbaharui rekod kebangsaan 328 mata milik Mon Redee Sut Txi dalam acara 70m recurve wanita yang dilakukan pada Sukan SEA Vietnam pada 2003 dengan catatan baharu 331 mata, sekali gus rekod baharu Sukma.

Selain mencipta satu lagi rekod Sukma dalam acara recurve 60m wanita, pemanah Terengganu itu turut meraih pingat emas acara berpasukan wanita pusingan Olimpik selain gangsa acara 30m dan perseorangan pusingan Olimpik.

Sementara itu Selangor kembali sebagai juara keseluruhan temasya Sukma buat kali kesembilan selepas kali terakhir muncul juara pada 2013 di Kuala Lumpur.

Daripada segi penganjuran, Sukma kali ini telah dianjurkan dalam keadaan yang penuh teratur dan sistematik walaupun berlaku sedikit kekecohan yang melibatkan pergaduhan di gelanggang bola sepak dan juga di arena pencak silat.

Tidak banyak rungutan baik dari segi pengangkutan, makanan mahupun tempat tinggal -- segala-galanya berjalan teratur dan sempurna.

Sarawak selaku tuan rumah edisi kali ini turut mengekalkan sistem 'Jabatan Angkat' bagi setiap kontinjen, yang banyak membantu melicinkan perjalanan atlet.

Namun dalam apa jua kejohanan, semasa pujian melambung diberikan kepada mereka yang bertungkus lumus menjayakan setiap acara dengan cemerlang, pihak penganjur juga tidak terlepas daripada beberapa kelemahan, walaupun mungkin dilihat remeh namun ia wajar dijadikan teladan dan sempadan agar ia tidak berulang di masa hadapan.

Bagi pihak media, ketiadaan kemudahan ruang kerja di semua venue agak menyukarkan tugas mereka untuk menghantar berita dengan segera kepada agensi masing-masing di Kuala Lumpur.

Boleh dikatakan separuh daripada venue-venue pertandingan pula, pihak media terpaksa mengambil gambar 'start list' kerana petugas venue mengatakan 'tiada untuk media' walaupun mempunyai kemudahan mesin photostat atau printer untuk membuat salinan ada di situ.

Bukanlah mahu meminta diberi keistimewaan tetapi pekara asas untuk liputan berita sukan seperti itu amat perlu.

Tuan rumah Sukma ke-19, Perak mempunyai masa dua tahun lagi untuk mempersiapkan diri sebagai tuan rumah Sukma yang berikutnya pada 2018.

Perak akan menganjurkan temasya itu buat kali kedua selepas 1994. - Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA