PPWS Jadi Kebanggaan Sarawak Sertai Persidangan ACWW Di UK



KUCHING: Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) yang menjadi kebanggaan Sarawak, merupakan satu-satunya pertubuhan wanita terlibat dalam Persidangan Ke-28 Persatuan Wanita Desa Sedunia (ACWW) Tiga Tahun Sekali yang berlansung pada 17 hingga 23 Ogos di United Kingdom.

Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) itu diwakili oleh Pengerusi Negeri PPWS, Norjanah Razali dan Exco PPWS Kawasan Sibu/Sarikei/Kapit, Hajah Dyg Mariam Abg Mustapha.

Turut tercalon, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hajah Nancy Shukri sebagai Presiden Kawasan bagi Asia Tenggara dan Timur Jauh yang pada masa ini dipegang oleh Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bagi sesi 2013 – 2016.

Nancy Shukri dalam satu kenyataan media berkata persidangan peringkat dunia ini memberi peluang kepada peserta untuk berkongsi pelbagai cabaran berbeza yang dihadapi wanita di luar bandar.

Tambahan pula, ACWW boleh meningkatkan peranan mereka dalam membantu wanita di kawasan berkenaan mengenalpasti potensi diri bagi mempertingkatkan taraf kehidupan.

Manakala menurut Norjanah, penglibatan PPWS dalam persidangan itu dilihat amat tepat selaras dengan pencapaian PPWS sebagai pergerakan wanita yang ulung di Sarawak yang peranannya selama ini menerapkan nilai penghayatan hidup berpersatuan berteraskan kerjasama dan kesepakatan antara satu sama lain.

“Ia sesuai dengan tema persidangan antarabangsa itu, iaitu “Working Together for a Better Future”, yang menghimpunkan wakil-wakil NGO dari 74 buah negara dari seluruh dunia serta 9 Presiden Kawasan dan calon Presiden Kawasan yang akan bertanding pada pemilihan bagi sesi 2016-2019,” ujarnya.

Terdagulu, ACWW dianggotai oleh 412 buah pertubuhan dari 74 buah negara dengan kekuatan ahli wanitanya seramai 9 juta orang.

Persidangan tersebut menjadi platform untuk peserta memilih resolusi yang akan menjadi panduan bagi ACWW menggerakkan pelbagai projek bertujuan meningkatkan kualiti kehidupan wanita terutamanya di kawasan luar bandar.

ACWW ialah organisasi antarabangsa terbesar dunia untuk pembangunan wanita luar bandar yang berpusat di UK.

Antara objektifnya ialah memperkasakan ilmu wanita desa bagi mencari cara baharu untuk mengupayakan potensi diri sebagai kunci kejayaan untuk kehidupan yang lebih baik. – Sarawakiana


No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA