Polis Tangkap Seorang Lelaki, Empat Jam Selepas Ahli Perniagaan Dirompak

MIRI, 25 Ogos (Bernama) -- Polis Lawas menangkap seorang suspek, empat jam selepas dipercayai merompak seorang ahli perniagaan di Lawas malam tadi.

Ketua Polis Daerah Lawas DSP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, suspek seorang lelaki berumur 36 tahun dari Ranau, Sabah ditangkap di Kampung Siang-siang, Lawas pukul 11 malam setelah merompak seorang ahli perniagaan berusia 34 tahun pukul 7 malam di Batu 6, Jalan Trusan, Lawas.

"Suspek bersama seorang rakannya yang masih diburu telah merompak dengan menggunakan senjata iaitu pedang samurai dan kayu," katanya kepada Bernama hari ini.

Abang Zainal berkata, sebelum kejadian, mangsa sedang memandu kereta dalam perjalanan ke pekan Lawas apabila tiba-tiba suspek serta rakannya menghalang laluan mangsa.

"Suspek dan rakan yang menggunakan kereta Proton Saga BLM terus keluar dari kereta mereka dan mengambil beg milik mangsa," katanya.

Abang Zainal Abidin berkata, suspek dan rakannya terus melarikan diri bersama beg mangsa yang mengandungi Mykad mangsa, kad kredit BSN, kad ATM Maybank, tiga telefon bimbit dan wang tunai RM2,000.

Ketika cuba melarikan diri, beliau berkata, kereta yang dipandu oleh seorang daripada suspek terbabas tidak jauh dari tempat kejadian.

"Kedua-dua suspek melarikan diri ke arah hutan berhampiran," katanya sambil menambah polis masih lagi memburu rakan suspek.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati pemilik asal kereta Proton Saga BLM itu dari Sarikei, Sarawak tetapi digunakan oleh rakan niaganya di Sabah.

"Suspek yang ditangkap mempunyai rekod jenayah iaitu penyalahgunaan dadah dan kes pecah rumah," katanya. -- BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA