Polis Masih Berusaha Kesan Dalang Kes Tembak Mati Bill


KUCHING : Polis masih berusaha mengesan suspek yang merupakan dalang kepada kes tembak mati Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cawangan Miri Bill Kayong.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mazlan Mansor berkata suspek bergelar Datuk tersebut disyaki berada di luar negara bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.

“Kami menggunakan semua kaedah dan kekuatan ini termasuk bekerjasama dengan pihak Interpol untuk mengesan suspek bagi membolehkan tindakan diambil serta meneruskan pendakwaan.

“Bagaimanapun apa kaedah dan strategi yang kami gunakan untuk siasatan itu kami tidak akan dedahkan kepada umum,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) di sini, semalam.

Beliau berada di LTAK untuk mengucapkan selamat jalan kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta isteri Datin Seri Hamidah Khamis yang berlepas pulang ke ibu negara sekitar jam 10.30 pagi semalam.

Dalam pada itu, dua daripada suspek yang ditahan sebelum ini berhubung kes tembak mati pemimpin PKR ini telah dihadapkan di Mahkamah Majistret Miri.

Tertuduh pertama, Mohamad Fitri Pauzi, 29, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh Bill, 43, pada 21 Jun lalu di persimpangan lampu isyarat berhampiran pasar raya Emart, Jalan Miri-Bintulu.

Manakala tertuduh kedua, Lie Chang Loon, 37, pula didakwa bersubahat dengan Mohamad Fitri dan dituduh mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 302 kanun yang sama.

Dalam perkembangan berkaitan, Mazlan berkata beliau akan mengadakan sidang media dalam masa terdekat mengenai perkembangan keseluruhan kes jenayah di negeri bagi tempoh enam bulan ini.- UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA