Polis Marin Hilang Ditemui Selamat


BATU PAHAT: Seorang anggota Pasukan Polis Marin (PPM) Pangkalan Muar, yang hilang selepas menghantar isterinya di sebuah hospital swasta di sini kelmarin, ditemui berkeadaan lemah di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Rambai, Lebuhraya Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), tengah hari semalam.

Rahim @ Norizam Darisun, 47, ditemui dalam kenderaannya kira-kira jam 12.10 tengah hari selepas dikesan polis menerusi gelombang talian telefon bimbit.

Mangsa mendakwa menumpangkan seorang wanita dan anaknya di hospital berkenaan ketika ingin bertolak pulang ke Muar tetapi gagal mengingati apa yang berlaku selepas itu sehingga ditemui di Sungai Rambai, Melaka.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa, berkata mangsa bertolak ke Muar kira-kira jam 6.30 pagi selepas menghantar isterinya dan sepatutnya melapor diri ke pejabat tetapi gagal dikesan.

Katanya, keadaan itu menyebabkan rakan setugas mencarinya di rumah sebelum memperluaskan carian dari laluan Muar ke Batu Pahat.

"Mereka turut menghubungi pendaftaran masuk semua hospital di Muar dan Batu Pahat selain cuba menghubungi telefon bimbit mangsa, namun semuanya gagal sebelum laporan polis dibuat.

"Polis melancarkan gerakan di sepanjang laluan Batu Pahat-Muar dan melakukan pengesanan ke atas nombor telefon bimbitnya sebelum mangsa dikesan kira-kira jam 12.10 tengah hari.

"Dia ditemui kira-kira 70 kilometer (KM) dari lokasi dilaporkan hilang dan berkeadaan lemah.

"Ketika disoal siasat, mangsa mendakwa menumpangkan seorang wanita dan anaknya di hospital berkenaan tetapi tidak mengingati apa yang berlaku," katanya.

Abdul Wahib berkata, mangsa dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar bagi rawatan berikutan masih lemah. Katanya, kes diklasifikasikan sebagai Orang Hilang (OH). -BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA