Pokok Hempap Rumah, Elektrik Terputus Akibat Angin Kencang Di Bintulu

Foto Utusan Borneo

BINTULU: Angin kencang dan ribut petir melanda bahagian ini menyebabkan beberapa penempatan terjejas termasuk memutuskan bekalan elektrik pada jam 1 hingga 2 pagi semalam.

Kejadian itu turut mengakibatkan bumbung beberapa rumah diterbang angin kencang dan ada atap rumah terkopak.

Pokok besar pula patah dan tumbang di atas jalan raya sehingga menghalang laluan serta menimpa kabel elektrik.

Keadaan tersebut menyebabkan kesesakan teruk pagi semalam apabila ramai turun bekerja terperangkap tidak dapat melalui laluan jalan tersebut.

Antaranya Jalan Tanjung Kidurong sehingga pemandu kereta terpaksa berpatah balik sekitar jam 6 hingga 7 pagi menggunakan jalan alternatif di jalan pesisir ke Tanjung Kidurong untuk sampai ke tempat kerja mereka di Tanjung Kidurong.

Mengulas mengenainya, Timbalan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) Mohd Bohari Kipli yang memantau pekerja BDA membersihkan batang pokok tumbang semasa ditemui di tempat kejadian berkata, keutamaan akan dibuat bagi membersihkan pokok tumbang menghalang laluan menyebabkan kesesakan teruk.

“Kerja membersih pokok tumbang di kawasan rumah penduduk dilakukan segera. Kejadian berlaku bukan melibatkan satu dua kawasan di Bintulu sahaja malah hampir keseluruhan Bintulu terjejas akibat angin kencang serta petir sehingga ada beberapa penempatan penduduk terputus bekalan elektrik,” katanya.

Selain BDA katanya, bomba turut melakukan kerja pembersihan pokok tumbang di atas jalan utama ke Tanjung Kidurong pagi semalam.

Kerja pembersihan dan baik pulih itu telah dilakukan Pasukan Tindak Balas Kecemasan BDA (ERT) daripada Seksyen Landskap, Penyelenggaraan, Kesihatan dan Sanitasi, TUMBINA, Mekanikal dan Elektrikal, Penguatkuasaan dan Infrastruktur.

Tinjauan mendapati sebuah rumah tidak didiami merupakan bekas bangunan tadika hampir dihempap pokok besar yang tumbang di taman perumahan MLNG dan beberapa bumbung surau, rumah kampung dan taman perumahan turut diterbangkan angin.

Operasi lampu isyarat turut mengalami kerosakan akibat angin kencang tersebut sehingga lalu lintas turut terganggu dan mengalami kesesakan di simpang Taman Tinggi Jalan Tun Hussein Onn serta beberapa simpang Jalan Tanjung Batu yang segera dibaik pulih oleh BDA.

Pagar jaring pemerangkap bola golf yang menghadap laut di Kelab Golf Bintulu kesemuanya turut tumbang dalam kejadian angin kencang tersebut.

Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu, Timbalan Penguasa Bomba Di-Hata Gobel berkata kejadian pokok tumbang dan bumbung diterbangkan angin kencang berlaku di beberapa penempatan membabitkan kawasan Taman Perumahan Beverly Hills, Kemena Park, berhampiran Kelab Kidurong, Klinik Kesihatan Kidurong, Jalan Pesisir Pantai ABF, Perumahan MLNG, Tanjung Batu, Taman Putera, Kampung Assyakirin Fasa 1 dan Chin Lee Garden.

“Kami menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 4 pagi ini dan mengerahkan seramai 11 anggota diketuai PBK 11 Zulkifli Narawi ke lokasi kejadian jauhnya tujuh kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu bersama dua jentera FRT Scania yang mana tiba di tempat kejadian pada jam 5.30 pagi ini,” katanya.

Beliau berkata, setibanya di lokasi kejadian didapati bumbung rumah sewa tujuh pintu berhampiran Taman Beverly Hills berada di atas laluan jalan akibat diterbangkan angin kencang.

Begitupun katanya, tiada kecederaan yang dilaporkan dan pihaknya turut menerima panggilan kecemasan di tempat-tempat lain melibatkan bumbung diterbang angin dan pokok tumbang.

Jelasnya, kerja-kerja pembersihan telah dijalankan yang mana turut melibatkan BDA dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Katanya lokasi yang telah diambil tindakan ialah di Taman Beverly Hills, Jalan Tanjung Kidurong, Jalan Tun Ahmad Zaidi, Taman Putera dan Chin Lee Garden. -UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA