• Pokemon Go: Bomba Pantau Pegawai, Anggota

    Published: Thursday, 18 August 2016
    A- A+

    MARANG - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengingatkan pegawai dan anggotanya supaya tidak terjebak dalam permainan Pokemon Go khususnya ketika waktu bertugas.

    Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohd Noor Ibrahim berkata pihaknya sentiasa‎ memantau perkara itu dan meminta kesemua mereka mematuhi arahan dan peraturan yang ditetapkan.

    Katanya pihaknya tidak akan berkompromi dengan mereka yang dikesan terlibat bermain pada waktu pejabat dan melibatkan kawasan balai terutamanya.

    "Itu adalah hak individu untuk bermain permainan maya tersebut namun jangan bermain ketika waktu bekerja dan bertugas sehingga leka dengan tanggungjawab.

    "Selain itu kita juga memandang serius jika mereka bermain di kawasan balai dan tindakan akan dikenakan," katanya kepada pemberita di sini.

    Menurutnya pihaknya akan memberikan amaran awal, amaran bertulis terlebih dahulu sebelum disusuli dengan tindakan lain sehingga ke tindakan tatatertib jika didapati ada anggotanya yang leka bermain permainan itu hingga mengabaikan tugas hakiki mereka.

    Beliau berkata setakat ini pihaknya tidak mengesan aktiviti itu di sekitar balai dan tiada kawasan balai diceroboh oleh pemain Pokemon ini. - Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Pokemon Go: Bomba Pantau Pegawai, Anggota "