PM Temui Pelajar Tahfiz Di Membakut

Foto Berita Harian
MEMBAKUT: Datuk Seri Najib Razak meluangkan masa kira-kira 25 minit mengunjungi dan beramah mesra dengan pelajar serta tenaga pengajar Madrasah Tahfiz Darul Yatama Yacob Khan, dekat sini hari ini.

Ketibaan Perdana Menteri yang diiringi Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman disambut oleh pengasas madrasah berkenaan, Datuk Ghulam Khan Hassan.

Yang turut hadir, Menteri Luar yang juga Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman; Pembantu Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut, Datuk Mohd Ariffin Arif dan Pengerusi Lembaga madrasah terbabit, Malai Ali Malai Ahmad.

Perdana Menteri turut menyertai majlis bacaan doa selamat selain menyerahkan sumbangan peribadi. \

Dalam ucapannya, beliau memuji pengurusan teratur madrasah itu yang boleh memberi manfaat kepada semua pelajar.

"Pengendalian cemerlang pihak pengurusan madrasah mampu membantu pelajar yang bakal menjadi tahfiz, selain boleh menghayati prinsip dan nilai suci agama Islam. Saya berharap pelajar di madrasah ini mampu menjadi contoh terbaik khususnya dalam aspek kepemimpinan negara pada masa hadapan.

"Saya juga berharap kita semua berdoa agar negara sentiasa aman," katanya yang turut melawat kediaman seorang lagi pengasas madrasah berkenaan, Datuk Ghulam Khan Hassan.

Sementara itu, Ghulam merakamkan terima kasih kepada Perdana Menteri atas kesudian melawat madrasah berkenaan walaupun jadualnya padat.

Pelajar, Masyhur Herman, 13, pula berkata beliau teruja dan tidak menyangka dapat berbual dengan Perdana Menteri.

"Dalam perbualan singkat itu, Perdana Menteri berpesan kepada saya dan rakan supaya belajar ilmu agama dengan bersungguh-sungguh," katanya. -BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA