PM Hasil Buku "Wasatiah : Idea Dan Realiti"


PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini memperkenalkan buku baharu tulisan beliau "Wasatiyyah: Idea dan Realiti" di Seri Perdana di sini, hari ini.

Buku setebal 98 halaman dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris itu mengandungi intipati berdasarkan pengalaman Malaysia mengurus lima konflik hubungan antarabangsa dengan pendekatan wasatiyyah.

Buku yang terdiri daripada enam bab itu menjelaskan mengenai maksud wasatiyyah dan pendekatannya di Malaysia. Selain itu, konflik pendamaian Bangsamoro di Filipina, tragedi MH17, fahaman dan tindakan ekstrem pengganas, impak generasi muda terhadap masa depan negara dan sokongan berterusan Malaysia terhadap perjuangan Palestin.

"Harapan saya, perkongsian menerusi buku ini dapat berwasatiyyah dalam memberi sedikit keadilan kepada wibawa Malaysia memimpin solidariti antarabangsa, malah dijadikan model untuk membantu mana-mana pihak yang mungkin berhadapan situasi serupa," kata beliau dalam ruangan pendahuluan buku berkenaan.

Buku terbitan Institut Wasatiyah Malaysia (IWM) dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) itu dijual dengan harga RM40 di Semenanjung dan RM45 di Sabah dan Sarawak, di Kedai Buku 1Malaysia dan kedai buku utama di Malaysia, serta secara dalam talian di www.itbm.com.my atau www.iwm.jpm.my.

Sementara itu, ketika bercakap mengenai buku itu selepas majlis pengenalannya, Perdana Menteri turut berkongsi pengalaman mengendalikan tragedi MH17 yang memerlukan beliau untuk berunding sendiri dengan ketua kumpulan pemisah, Alexander Borodai.

Perdana Menteri berkata, selepas melihat gambar mayat mangsa bergelimpangan dan reput, kegagalan mendapat kotak hitam pesawat dan keluarga mangsa bersedih, beliau memutuskan untuk melepasi struktur kebiasaan dan bertindak menjadi 'pengarah operasi' sendiri.

"Saya cuba gunakan rangkaian dengan ketua negara yang saya kenali dan ada ketua negara yang mengenali beliau (Borodai), membolehkan saya bercakap dengan beliau.

"Saya 'gabra' juga sebab bagi arahan untuk pasukan kita memasuki kawasan konflik, apa jaminan mereka tidak berdepan risiko tapi bila jadi Perdana Menteri, kita kena buat keputusan berdasarkan pertimbangan yang kalau dilaksanakan mendatangkan kebaikan.

"Jadi saya beranikan diri dan alhamdulillah, apa yang dihajati tercapai," katanya. -BH




No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA