PM Alu-Alukan Pelancaran Semula Rundingan Damai Bangsamoro


PUTRAJAYA: Malaysia terus komited untuk menjadi orang tengah dalam rundingan damai antara Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) dan kerajaan Filipina sehingga keamanan serta kemakmuran dicapai di wilayah selatan negara itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dalam satu kenyataan berkata, Malaysia akan kekal memainkan peranan itu sehingga diperlukan tetapi pada masa sama, menghormati kedaulatan negara lain dan menganggap adalah salah bagi kuasa luar mencampuri urusan dalaman sesebuah negara.

"Bagaimanapun, apabila ada permintaan daripada kerajaan yang dianggap sebagai kawan dan jiran, kita (Malaysia) gembira untuk memberi apa sahaja bantuan yang mungkin.

"Resolusi aman bagi mengakhiri konflik yang sudah berdekad lamanya berterusan dan mengorbankan puluhan ribu nyawa ini adalah satu pencapaian bersejarah. Malaysia bangga dapat membantu rundingan yang dapat meningkatkan keselamatan dan kestabilan di Mindanao, Filipina dan rantau ini.

"Kesungguhan Presiden (Filipina), Rodrigo Duterte dan wawasannya dalam mewujudkan pelan rundingan damai yang baharu ini adalah amat penting," katanya. Pagi tadi, berlangsung Majlis Perasmian Fasa Pelaksanaan Perjanjian Damai Mindanao, yang dihadiri Penasihat Presiden Filipina Mengenai Proses Damai, Jesus Dureza; Pengerusi MILF, Murad Ebrahim serta Fasilitator Proses Damai Antara Kerajaan Filipina dan MILF, Datuk Tengku Ab Ghafar Tengku Mohamed, di Kuala Lumpur.

Najib berkata beliau bangga dengan perkembangan program dua hari itu, yang menyaksikan pelancaran secara rasmi Fasa Pelaksanaan Perjanjian Komprehensif Berkaitan Bangsamoro.

Di samping mengakui cabaran yang akan wujud, beliau tetap yakin di bawah kepimpinan Presiden Duterte dan kegigihan Malaysia sebagai pengantara yang ikhlas, era pembangunan serta kemakmuran di wilayah selatan Filipina dapat dicapai. -BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA