PKR Tolak Kerjasama Dengan Parti Pribumi Dan Mahathir


KUALA LUMPUR – Pimpinan tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) digesa untuk tidak mengadakan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan juga bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut Ketua Cabang PKR Balik Pulau, Datuk Abdul Halim Hussain, PKR seharusnya berpegang kepada prinsip asas reformasi dan menolak ideologi perkauman Bersatu yang baru sahaja memohon didaftarkan sebagai parti politik oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu.

“Dalam Perlembagaan Negara , Perkara 10 (c) dengan jelas mengatakan semua rakyat Malaysia punya hak yang sama untuk berpesatuan. Maka sudah tentu menjadi hak asasi yang dibolehkan bagi Tun Dr. Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin untuk menubuhkan apa juga parti. Untuk itu kita perlu hormati dan raikan demokrasi lahirnya parti Pribumi (Bersatu).

“Namun dari segi prinsipnya untuk menjalinkan kerjasama dengan mana – mana parti atau pertubuhan sekalipun PKR seharusnya berpegang pada prinsip asas reformasi. Pertama parti ini sangat jelas perkauman dari UMNO itu sendiri.

“Parti ini membuka keahlian kepada semua kaum tetapi hanya Melayu sahaja boleh memegang jawatan atau mengundi. Adakah bukan melayu hanya layak menjadi tukang sorak?” soal Abdul Halim.

Menurutnya lagi, sekiranya Bersatu diterima untuk menyertai Pakatan Harapan atau sebagai rakan PKR, secara tidak langsung ia akan menggambarkan PKR turut mengiktiraf diskriminasi kaum dan seterusnya akan menjadi beban kepada parti itu khususnya ketika Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14).

“Jika parti ini diterima dalam PH atau diterima sebagai rakan PKR maka ia memberi isyarat PKR mengiktiraf diskriminasi kaum dan ia bakal menjadi beban kepada kita khususnya bila berdepan pilihanraya, selama ini PKR diterima sangat baik di kawasan campuran tetapi dengan mengiktiraf parti perkauman ini pasti memberi kesan pada tapak sokongan PKR itu sendiri,” katanya.

Selain itu, beliau turut mempertikaikan kesudian pimpinan PKR bekerjasama dengan Mahathir sedangkan selama ini mereka bermati-matian menentang bekas Perdana Menteri itu terutamanya ketika krisis di antara beliau dan bekas Timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedikit masa dahulu.

“Selain itu dengan jelas Mahathir bukan sahaja tidak mengakui kesilapannya menzalimi Anwar Ibrahim tetapi terus menfitnah Anwar, mempertahankan tindakannya..terbaru melalui temuramahnya dengan stesen TV Al Jazeera.

“Ini persoalan penting dan jika salah ditangani pepecahan sokongan bakal berlaku. Mahathir yang kita yakinkan rakyat bahawa dia Mahafiraun, perompak negara tiba – tiba bila dia ketuai sebuah parti lain kita terima dan angkat dia sebagai pemimpin. Dia kena akui dan minta maaf atas semua kesilapannya.

“Malah tidak keterlaluan dia perlu memulangkan rompakan yang dilakukan seperti skandal Perwaja, Skandal Bank Bumi, Skandal Maminco Makuwasa dan skandal menggunakan wang negara bail out anaknya yang mana Anwar dipecat dan dizalimi kerana menghalangnya.

“Itu sekadar menyebut beberapa perkara. PKR itu sendiri diasaskan oleh krisis 1998 yang mana kemuncak kuku besi Mahathir menunggang dan merosakan sistem dalam negara. Kerosakan hari ini merupakan kelangsungan kejahatan Mahathir,” tegasnya lagi.

Justeru itu beliau mendesak pimpinan PKR yang rapat dengan Mahathir supaya menyatakan pendirian mereka berhubung perkara yang dibangkitkannya itu.

“Pimpinan PKR khususnya yang selama ini begitu rapat dengan Mahathir harus menyatakan pendirian dalam perkara ini. Sepatutnya didesak Mahathir meminta maaf dari Anwar dan seluruh rakyat Malaysia.

“Mood rakyat menolak Umno BN cukup tinggi namun kita tidak mahu penampilan Mahathir yang mahu berkuasa kembali bagi memastikan legasinya mengganggu mood rakyat ini,” katanya. - KLXpress

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA