PKR Sokong Adenan Dalam Rundingan Penurunan Kuasa

Foto Utusan Borneo

KUCHING: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak menyokong penuh usaha Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem dalam rundingan penurunan kuasa dengan kerajaan pusat.

Pengerusinya Baru Bian juga berkata PKR Sarawak sanggup membantu kerajaan dalam apa jua cara termampu namun menegaskan Ketua Menteri harus telus dan memaklumkan isi kandungan rundingan tersebut.

Selain memberi peluang kepada PKR Sarawak memberi maklum balas kerana rundingan penurunan kuasa itu melibatkan hak-hak rakyat dan penentu masa depan generasi akan datang, tambahnya.

Menurut Baru umum sedia maklum Ketua Menteri sebelum ini menyatakan rundingan autonomi dengan kerajaan persekutuan telah mencapai fasa kedua dan pencapaiannya setakat ini amat dihargai.

“Namun kita ingin mempersoalkan apabila Adenan baru-baru ini menyatakan beliau perlu memberi ‘amaran’ kegagalan (kerajaan pusat) menunaikan autonomi dijanjikan.

“Ia mungkin hanya kenya-taan umum daripada Ketua Menteri atau boleh juga membawa makna kerajaan persekutuan menunaikan seperti dikatakan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) semasa berkempen ketika Pilihan Raya Negeri lalu,” katanya.

Tambahnya, ‘amaran’ di-katakan Adenan itu membawa makna ada suatu yang tidak ‘bagus’ berlaku terhadap rundingan itu.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang turut dihadiri Naib Pengerusi PKR Sarawak See Chee How, Ketua Wanita PKR Sarawak Nurhanim Mokhsen dan Pengerusi PKR Pelagus Joshua Jabeng di ibu pejabat PKR Sarawak di sini, semalam.

Baru yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Ba’Kelalan berkata walaupun tidak tahu mengenai perkara-perkara disentuh dalam rundingan itu, PKR Sarawak mahu mencadangkan tiga perkara penting diambil kira iaitu kebebasan beragama, pendidikan dan perwakilan dalam Parlimen.

Sebagai contoh katanya, hal agama seperti termaktub dalam Jadual 9, Perlembagaan Persekutuan, menyebut undang-undang Islam adalah di bawah Senarai Negeri (State List).

“PKR mahu kerajaan pusat diingatkan mengenai perkara ini…Jabatan Pendaftaran Negara tidak mempunyai kuasa untuk memerintah atau campur tangan dalam perkara ini dan ia harus jelas,” tegasnya.

Mengenai autonomi pendidikan, Baru berharap Ketua Menteri akan teguh dalam menegaskan bahasa pengantar adalah bahasa Inggeris dan autonomi membabitkan polisi serta silibus pendidikan.

Manakala perwakilan dalam Parlimen pula kata-nya, ia harus dikembalikan kepada satu pertiga atau 34 peratus daripada jumlah keseluruhan Ahli Parlimen adalah dari negeri-negeri Borneo seperti dinyatakan di bawah Perenggan 165 dan 190 (g) Laporan Suruhanjaya Cobbold.

Menurutnya ketika ini perwakilan Sabah dan Sarawak dalam Parlimen berkurangan kepada 25 peratus.

“Kami menggesa Ketua Menteri memastikan nisbah asal iaitu 34 peratus dikembalikan kepada Sabah dan Sarawak sejajar dengan dasar bilangan kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia tidak boleh melebih dua pertiga jumlah keseluruhan,” kata-nya.

Tambahnya, kali terakhir nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak sebanyak 34 peratus dalam Parlimen ialah pada 1964. -UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA