Pilih Kerja, Enggan Bekerja 3D Punca Pengangguran



KUCHING: Masalah pengganguran yang semakin meningkat saban tahun termasuk di Sarawak banyak didorong sikap masyarakat terutama generasi muda memilih kerja dan enggan bekerja dalam sektor 'Dirty, Difficult and Dangerous' atau 3D.

Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James Masing berkata, keadaan itu menyebabkan pekerja asing menjadi pilihan untuk bekerja dalam sektor berkenaan.

Malah menurutnya, jika masyarakat tempatan mahu bekerja dalam sektor berkenaan, tidak berlaku kebergantungan kepada pekerja asing.

"Masalah pengangguran adalah berpunca daripada sikap masyarakat kita yang terlalu memilih kerja dan tidak mahu bekerja dalam sektor 3D.

"Sekiranya pekerja tempatan tidak terlalu memilih, sudah pasti kita tidak perlukan pekerja asing untuk mengi kekosongan dalam sektor ini," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Hari Kerjaya Kebangsaan 2016 Peringkat Negeri Sarawak dan Pelepasan Konvoi Kembara Kerjaya di Dewan Suarah, hari ini.

Biarpun anak tempatan kurang berminat dalam sektor 3D katanya, kerajaan tetap berusaha untuk membantu mereka dengan menganjurkan program mencari kerja terutama Hari Kerjaya Peringkat Kebangsaan.

"Dianggarkan lebih kurang 2,000 kekosongan ditawarkan dalam pelbagai bidang kerja sempena hari kerja ini. Enam jabatan dan agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia juga membuka gerai pameran yang menawarkan khidmat nasihat mengenai pekerjaan," ujarnya.

Mengenai konvoi kembara kerjaya, sebanyak 22 kenderaan akan mengembara dari Kuching hingga Bintulu dan berpatah balik ke bandar raya ini pada 23 Ogos.

Sepanjang perjalanan, peserta konvoi akan mengadakan pameran kerjaya di beberapa hentian seperti Serian, Sri Aman, Betong, Saratok, Bintangor, Sibu dan Bintulu. - Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA