Petugas Luar Setia Berkhidmat Dengan Tabung Haji


MAKKAH: Kira-kira 300 orang penduduk tempatan berketurunan Indonesia dan Thailand turut diambil bagi membantu Lembaga Tabung Haji (TH) dalam operasinya mengendali jemaah haji Malaysia dengan menjadi Pembantu Petugas TH (PATUH) saban tahun.

Ada yang sudah berkhidmat sehingga melebihi 20 tahun.

Mereka ini fasih berbahasa Melayu dan Arab.

"Saya sudah 26 tahun berkhidmat dengan Tabung Haji yang diletak sebagai pembantu pasukan kesihatan," kata Mustofa Bathul Bari, 52, berasal dari Indonesia.

Beliau berkata setiap tahun beliau dipilih TH sebagai petugas sambilan.

"Saya rasa gembira dan tidak pernah menolak untuk berkhidmat dengan Tabung Haji kerana seronok bekerja membantu mereka dan juga jemaah Malaysia yang memerlukan khidmat kami," katanya yang bertugas sebagai kakitangan hotel di sini.

Bagi Abdul Rahman Bayo, 40, pula yang berketurunan Melayu Thailand, beliau sudah 10 tahun berkhidmat sebagai anggota PATUH di bahagian Operasi Masya'ir.

Katanya keramahan rakyat Malaysia dan keterbelaan nasib apabila berkhidmat dengan TH, menyebabkannya tertarik untuk terus membantu TH.

"Orang Malaysia (jemaah haji) baik dan Tabung Haji juga sangat bagus dalam membantu kami pada setiap musim haji," katanya yang berkelulusan Universiti Al Azhar.

Rakannya Hamdi Ismail Baheh, 39, berkata beliau sudah 16 tahun bertugas secara sambilan bersama TH pada setiap musim haji.

Beliau yang bertugas di maktab penginapan jemaah haji Malaysia berkata keramahan rakyat Malaysia sangat menyentuh hatinya untuk berkhidmat dengan TH.

"Kami sudah macam keluarga dan apabila tamat musim haji, saya sentiasa dihubungi mereka bertanyakan khabar," kata bekas graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia ini.

Seperti Abdul Rahman, mereka berdua juga merupakan petugas syarikat mengerjakan umrah milik rakyat Malaysia.

Bagi seorang petugas PATUH wanita, Musrifah Bukhari, 32, yang baharu lima tahun bertugas dengan TH, beliau berharap akan sentiasa terpilih pada tahun-tahun berikutnya.

"Bukan kami tidak mahu bekerja dengan agensi haji negara lain, tetapi rasa bersyukur sangat dapat berkhidmat dengan Tabung Haji," katanya yang berketurunan Indonesia dan turut bekerja sebagai kakitangan hotel di sini. - BERNAMA

1 comment:

  1. Dgn mengupah mereka yg tinggal/bermastautin di situ TH dpt juga jimat duit.Elok juga dikurangkan bilangan pegawai/pembantu dr Malaysia,kuranglah ongkos TH.

    ReplyDelete

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA