Petronas tak berhentikan kakitangan muda

PETALING JAYA: Syarikat minyak negara, Petronas tidak berhasrat memberhentikan kakitangannya yang muda, berumur 35 tahun ke bawah memandangkan jumlah mereka membentuk 55% daripada jumlah keseluruhan kakitangan.

Naib Presiden Pusat Kecemerlangan Petronas Neil Horbachewski berkata syarikat itu belajar daripada pengalaman lalu apabila bekas kakitangan berkemahiran berhenti untuk menyertai syarikat minyak dan gas lain di seluruh dunia.

“Petronas pernah melakukan tindakan ini 15 tahun lalu ketika ia melalui perubahan yang teruk. Ramai kakitangan meninggalkan syarikat kerana ia tidak kompetitif, jadi Petronas kehilangan banyak kakitangan dengan pengalaman tertentu,” katanya pada Persidangan dan Pameran Teknologi Gerudi Asia Pasifik IADC/SPE di Singapura pada Isnin.

Pada masa sama, katanya Petronas akan memastikan bilangan kakitangan seminimum mungkin susulan industri minyak dan gas yang merudum, dan syarikat minyak negara itu mahu meneruskan dengan pembangunan keupayaannya.

“Jumlah kakitangan yang diberhentikan minimum kerana pihak pengurusan tahu kelembapan ini tidak akan kekal selamanya dan kami perlu mengekalkan pembangunan keupayaan kami,” katanya dipetik daripada portal rigzone.com.

Beliau berkata keperluan untuk mengekalkan bakat tertentu tidak terhenti hanya pada pengeluar minyak dan gas, tetapi sehingga ke syarikat perkhidmatan kerana cara itu dapat menjadikan industri itu lebih baik. Dalam hal ini, pengeluar memerlukan beban asas modal tertentu untuk dibelanjakan yang membolehkan industri terus berinovasi.

“Kalau tidak, kita terpaksa berdepan dengan pengaruh di luar sana cuba mempengaruhi anak muda di universiti dengan mengatakan industri minyak dan gas tempat yang buruk.

“Kami juga tidak perlu menyokong pandangan itu untuk mereka yang sudah 10-15 tahun bekerja dalam industri dan beritahu mereka perlu cari tempat lain. Saya gembira kami terus mengekalkan kakitangan ini,” katanya.

Petronas memberhentikan 1,000 kakitangan awal tahun ini susulan semakan strategik yang dilakukan syarikat itu sebagai respons kepada kelembapan industri, di mana harga minyak jatuh separuh daripada nilainya sejak pertengahan 2014. Syarikat itu mempunyai kira-kira 51,000 kakitangan pada penghujung 2014.

Seperti Petronas, syarikat Malaysia, SapuraKencana Drilling Sdn Bhd juga menyatakan kepentingan pembangunan keupayaan dan syarikat itu percaya pelaburan untuk kakitangan tidak patut terganggu meskipun berdepan kelembapan industri semasa.

“Biasanya ketika berdepan kelembapan industri, kami potong kos latihan. Pada saya ia seperti menembak kaki sendiri. Melabur kepada kakitangan sendiri perlu diteruskan,” kata CEO SapuraKencana Drilling Raphael Siri pada persidangan itu. - FMT

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA