Petronas Nafi Elak Imigresen


Kuching : Petronas menafikan dakwaan bahawa syarikat tersebut mengelak pemeriksaan Jabatan Imigresen Malaysia negeri ini dengan membawa pekerjanya ke pelantar minyak menggunakan jeti Kampung Pulau Melayu, Miri.

Malah, Petronas turut menegaskan 97 peratus daripada 550 pekerja luar pesisir di Sarawak terdiri daripada kalangan rakyat Sarawak tidak memerlukan permit kerja untuk bekerja di negeri ini.

"Laporan akhbar yang mendakwa bahawa Petronas telah ‘beralih’ tempat berlepas dari Pelabuhan Bintulu ke jeti Kampung Pulau Melayu di Miri untuk mengelak pemeriksaan imigresen bagi menghantar pekerja ke pelantar luar pantai Bintulu adalah tidak benar," menurut Petronas dalam satu kenyataan semalam.

"Petronas ingin menegaskan bahawa proses menghantar pekerja untuk kemudahan luar pesisir dilakukan dengan pemantauan ketat mengikut undang-undang dan dasar yang ditetapkan kerajaan negeri," katanya

Memetik laporan akhbar UtusanBorneo, pihak Petronas berkata perjalanan menggunakan bot dari Miri ke D35 dan platform Temana luar pesisir Bintulu akan mengambil masa lebih daripada enam jam dan ia membahayakan pekerja syarikat berkenaan.

"Sebagai sebuah entiti perniagaan dan majikan bertanggungjawab, Petronas mengambil semua langkah bagi memastikan kebajikan dan keperluan pekerja diurus dengan baik," katanya.

“Oleh itu, pekerja untuk platform D35 akan dihantar menggunakan helikopter dari Lapangan Terbang Miri manakala pekerja ke Temana dihantar menggunakan bot dari Pelabuhan Bintulu,” jelas Petronas.

Mengulas lanjut mengenai perkara tersebut, katanya jeti di Kampung Melayu, Miri adalah tempat untuk menghantar pekerja syarikat itu bagi kemudahan Operasi Delta Baram (BDO) di perairan Miri. - Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA