Petisyen Pujut: 30 Sept Untuk Penjelasan Dan Penghujahan Lisan

MIRI, 5 Ogos (Bernama) -- Mahkamah Pilihan Raya menetapkan 30 Sept untuk mendengar penjelasan dan penghujahan lisan daripada pihak yang terlibat dalam petisyen pilihan raya Dewan Undangan Negeri Pujut, satu-satunya kes yang difailkan susulan pilihan raya negeri pada 7 Mei lepas.

Hakim Ravinthran N. Paramaguru hari ini turut memerintahkan pempetisyen dan responden supaya memfailkan afidavit, penghujahan bertulis dan jawapan mereka sebelum 30 Sept.

Calon langsung Barisan Nasional (BN) Datuk Hii King Chiong memfailkan petisyen itu pada 16 Jun, atas alasan bahawa kemenangan wakil DAP, Dr Ting Tiong Choon adalah tidak sah, oleh kerana beliau didakwa merupakan warganegara sebuah negara lain.

Sebagai rekod, Seksyen 16 dan 17(g) Perlembagaan Negeri Sarawak menyatakan bahawa seseorang anggota Dewan Undangan Negeri hilang kelayakannya jika beliau secara sukarela memperoleh kewarganegaan daripada negara lain.

Peguam Peter Lin Kuan Yuh mewakili Hii manakala Dr Ting, responden tunggal dalam petisyen itu, diwakili peguam Chong Siew Chiang.

Dalam pilihan raya 7 Mei lepas, Dr Ting menang dengan majoriti 1,759 undi dalam pertandingan empat penjuru melibatkan DAP, BN, PAS dan seorang calon Bebas. -- BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA