Pertumbuhan 4.0 Peratus Pada Suku Kedua 2016



KUALA LUMPUR: Ekonomi negara mencatat kadar pertumbuhan sebanyak 4.0 peratus pada suku kedua tahun ini, seiring dengan pertumbuhan yang menyederhana dalam kalangan rakan dagang utamanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan, berkata kadar pertumbuhan itu mencerminkan ketahanan ekonomi negara dan asas ekonominya kekal kukuh.

Katanya, permintaan domestik iaitu perbelanjaan pengguna dan pelaburan sektor swasta adalah sumber pertumbuhan utama ekonomi pada suku kedua.

"Ini berikutan daripada pemulihan dalam sentimen positif pengguna dan pengukuhan keyakinan peniaga.

"Dalam sektor luar pula, walaupun eksport ke rakan dagang utama negara China dan Jepun terus menyederhana, namun eksport ke rakan dagang lain seperti Amerika Syarikat dan ASEAN terus mengukuh," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, pengeluaran dan eksport komoditi pertanian dan galian menguncup didorong oleh faktor harga yang rendah, tetapi ia diimbangi semula oleh pengeluaran dan eksport sektor pembuatan yang masih berkembang pesat terutama produk elektrik dan elektronik termasuk keluaran kimia.

"Sektor perkhidmatan, terutama sub-sektor borong dan runcit, maklumat dan komunikasi serta perkhidmatan perniagaan juga telah meningkat dengan kukuh," katanya.

Abdul Rahman berkata, bagi membantu pekebun kecil getah dan kelapa sawit yang terjejas dengan penurunan harga komoditi, bantuan khas telah diberikan kepada pekebun kecil RISDA dan insentif duit raya kepada peneroka FELDA sebanyak RM500.

Di samping itu, katanya, insentif pengeluaran getah turut diberikan kepada pekebun kecil bagi mengekalkan kadar pengeluaran dan mengurangkan kesan kejatuhan harga getah. "Pemberian subsidi harga dan insentif pendaratan ikan masih dilaksanakan," katanya.

Dengan pertumbuhan ekonomi yang masih mampan ini, jelasnya, pendapatan purata rakyat meningkat kepada RM36,675 pada suku kedua iaitu kenaikan lebih dari RM700 atau dua peratus berbanding suku sama tahun lalu.

Katanya, peningkatan itu hasil daripada inisiatif kerajaan termasuk pemberian bantuan kewangan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), kenaikan gaji minimum pekerja swasta kepada RM1,000 serta kenaikan gaji tahunan 2016 sebanyak dua kali dan bantuan raya sebanyak RM500 bagi penjawat awam.

"Pemberian terus ini akan dapat membantu rakyat mengurangkan beban kewangan mereka menangani kenaikan kos sara hidup.

"Di samping itu, kerajaan juga akan meneruskan pembinaan rumah mampu milik, memperbanyakkan Kedai 1Malaysia yang menawarkan harga berpatutan bagi barangan keperluan dan Klinik 1Malaysia.

"Pada masa sama kerajaan akan meningkatkan bilangan outlet pemasaran produk pertanian seperti agrobazaar dan MyFarm Outlet yang menawarkan barangan terus dari ladang kepada pengguna dengan harga yang lebih rendah," katanya.

Walaupun projek pembangunan masih diteruskan, kerajaan akan memastikan langkah-langkah mengoptimumkan perbelanjaan awam dilaksanakan supaya sasaran fiskal dapat dipenuhi.

Oleh itu, katanya, berdasarkan perkembangan terkini, beliau yakin sasaran rasmi pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar KDNK sebanyak 4 hingga 4.5 peratus bagi tahun ini dapat direalisasikan.-BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA