• Pertempuran dengan Abu Sayyaf bunuh 15 tentera Filipina

    Published: Tuesday, 30 August 2016
    A- A+
    Militan Abu Sayyaf membunuh 15 tentera Filipina dalam pertempuran sengit di kawasan bergolak di selatan negara itu, kekalahan terbesar kerajaan dalam sehari, menurut pegawai tentera.

    Jurucakap tentera berkata, lima tentera cedera dalam pertempuran lebih dua jam yang turut membunuh dua anggota militan di kawasan pergunungan dekat bandar Patikul, dalam wilayah Sulu, tempat Abu Sayyaf menyembunyikan kebanyakan mangsa culik mereka.

    Komander Wilayah Tentera Filipina, Mejar Filemon Tan, berkata kumpulan terbabit terdiri daripada 70 militan diketuai Komander Abu Sayyaf, Radulan Sahiron, penyerang bersenjata yang menjadi buruan pihak berkuasa Filipina dan Amerika Syarikat kerana pembabitannya dalam pengeboman, penculikan dan jenayah lain.

    Presiden Rodrigo Duterte, mengarahkan agar tentera kerajaan memburu dan memusnahkan tempat persembunyian mereka di hutan susulan tindakan pengganas itu memenggal kepala penduduk kampung miskin yang tidak mampu membayar wang tebusan.

    Pada masa sama, presiden itu meneruskan rundingan damai dengan dua kumpulan pemisah Islam utama, termasuk Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF).

    Anggota kumpulan ini disyaki memberikan bantuan dan sokongan ketenteraan kepada Abu Sayyaf pada masa lalu. - BNBBC News

    Subjects:

  • No Comment to " Pertempuran dengan Abu Sayyaf bunuh 15 tentera Filipina "