Permohonan Pasport Tetap Diproses Hari Sama

Foto Berita Harian
PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen hari ini mengulangi jaminan bahawa permohonan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) masih diproses pada hari yang sama atau selewat-lewatnya keesokan hari jika permohonan diterima pada waktu petang.

Sehubungan itu, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Mustafar Ali, dalam satu kenyataan sebentar tadi, menafikan dakwaan permohonan PMA mengambil masa enam bulan, yang viral di media sosial dan akhbar tempatan.

"Jabatan Imigresen menerima permohonan PMA di luar jangkaan sejak dakwaan berkenaan menjadi viral sehingga menyebabkan pejabat permohonan pasport dibanjiri orang ramai.

"Kami sedang berusaha selesaikan isu kekurangan stok pasport yang disebabkan oleh vendor pembekal polikarbonat untuk muka surat biodata yang tidak mengikut jadual dan pasport tidak dapat dibekalkan dalam jumlah ditetapkan.

"Sehubungan itu, Jabatan Imigresen mengambil langkah proaktif untuk memastikan sistem penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan tidak terjejas dan mengikut piagam yang ditetapkan," katanya.

Mustafar berkata, antara langkah penambahbaikan yang dilaksanakan ialah mengarahkan vendor pembekal pasport mempertingkatkan pengeluaran dan bekalan pasport sebanyak 320,000 untuk bulan Ogos iaitu 80,000 seminggu, seterusnya 400,000 untuk September, Oktober dan November.

Katanya, Jabatan Imigresen juga memperkenalkan semula 'Pasport Dalam Talian' pada September ini bagi mengurangkan kesesakan di kaunter dan memudahkan orang ramai memohon pasport secara dalam talian.

Katanya, kaunter khas disediakan untuk warga emas dan kanak-kanak, wanita mengandung serta kemudahan untuk menunaikan haji dan kes kecemasan.

"Saya juga ingin tegaskan bahawa PMA lama masih boleh digunakan sekiranya belum tamat tempoh dan tiada keperluan untuk menukar kepada pasport yang baharu.

"Bagi tahun 2016 sehingga 31 Julai, sebanyak 1,464,820 PMA telah dikeluarkan dan untuk bulan Ogos sahaja sehingga 8 Ogos sebanyak 76,253 Pasport telah dikeluarkan.

"Orang ramai dinasihatkan merancang dan membuat persiapan perjalanan keluar negara lebih awal dan membuat semakan status perjalanan ke luar negara di laman sesawang www.imi.gov.my bagi mengelakkan masalah sekatan semasa proses permohonan pasport dan sekatan meneruskan perjalanan di Kaunter Imigresen di pintu keluar negara," katanya. -BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA