Penyanyi Rap Kontroversi Direman 4 Hari


GEORGETOWN: Seorang penyanyi rap kontroversi ditahan reman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes klip video di sebuah masjid di Tanjung Bungah, Pulau Pinang, yang didakwa menghina Islam.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah (Jenayah) Ahmad Tajudin Zaini.

Penyanyi yang juga pengarah tempatan itu tiba di Bahagian Reman mahkamah pada jam 10.23 pagi dan keluar dari bahagian itu kira-kira 20 minit kemudian.

Penyanyi berusia 33 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Semalam, penyanyi itu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebaik tiba dari luar negara pada pukul 3.30 petang.

Klip video memaparkan rakaman empat lelaki yang menyanyikan lagu dalam bahasa Mandarin berdurasi 4.05 minit itu menjadi viral dan menimbulkan kemarahan orang ramai kerana ia dipercayai menghina Islam.

Ekoran itu, pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan membuat laporan polis kerana tidak puas hati dengan klip video berkenaan. - BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA