Peniaga Terubok 'Pecah Poket' Pada Musim Cuti


KUCHING: Sebut sahaja ikan terubok masin, sudah pasti ia menjadi produk wajib dibeli bagi pelancong terutama dari Semenanjung Malaysia yang berkunjung ke Sarawak.

Apa tidaknya, setiap kali tiba musim cuti, Medan Niaga Satok akan dibanjiri dengan pengunjung sama ada menggunakan bas, van atau teksi untuk membeli ikan terubok masin.

Musim cuti baik cuti umum atau cuti persekolahan adalah waktu puncak bagi peniaga ikan terubok masin kerana masa tersebut hasil jualan akan melonjak.

Seorang peniaga ikan terubok masin, Abdul Jalil Hassan,60, berkata, jualan ikan terubok masin akan meningkat pada musim cuti dan hujung minggu.

"Biasanya kami menjual sekitar 40kg sehari namun pada musim cuti atau hujung minggu, hasil jualan boleh mencecah sehingga 100kg sehari," katanya.


Menurutnya, ikan terubok masin yang dijualnya dihantar sendiri oleh pembekal dan merupakan campuran ikan import serta tempatan.

"Harga ikan dijual mengikut saiz, biasanya ikan dijual pada harga RM10 untuk tiga ekor. Malah ada antara ikan dijual pada harga RM80 seekor bagi ikan yang bersaiz besar," ujarnya.

Jalil menambah, telur ikan terubok turut menjadi pilihan pelanggan.

Dibuka bermula jam 7 pagi, perniagaannya beroperasi sehingga jam 8 malam dengan dibantu anak dan pekerja. -Sarawakiana.

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA