Peniaga Dipenjara Enam Hari, Denda RM10,000 Rasuah Penjawat Awam


KUCHING: Tindakan seorang peniaga cuba memberi wang suapan kepada seorang pegawai kanan imigresen Ogos tahun lalu memakan diri apabila dijatuhkan hukuman penjara enam hari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Khas Rasuah di sini hari ini.

Hakim Nixon Kennedy Kumbong menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Bong Jun Kuen,42, selepas tertuduh mengaku bersalah memberi rasuah sebanyak RM610 kepada Pegawai Kanan Imigresen, Morshidi Marzuki sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas pekerjanya yang merupakan warga Indonesia kerana tidak mempunyai permit kerja sah.

Mahkamah sama turut memerintahkan Jun Kuen dikenakan penjara tambahan sebulan jika gagal menjelaskan denda berkenaan.

Terdahulu semasa rayuan, tertuduh merayu hukuman ke atasnya diringankan kerana dia perlu menjaga kedua ibu bapanya yang berusia 81 dan 89 tahun selain menanggung empat anaknya yang masih bersekolah.

"Saya ingin mohon maaf dan diberi peluang untuk bertaubat dan janji tidak akan mengulangi kesalahan sama," katanya.

Bagaimanapun, Hakim Nixon menjelaskan bahawa bagi kesalahan yang dilakukan dan disabit, seseorang tertuduh itu perlu menanggung hukumannya.

Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah restoran menjual makanan segera, Pezzo Pizza Simpang 3 Cafe S.T Cita Rasa di Jalan Simpang 3 di sini, pada 4 Ogos lalu.

Ia sebagai dorongan tidak mengambil tindakan ke atas pekerjanya yang bekerja tanpa permit sah di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002).

Jun Kuen didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Pendakwaan bagi pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Katherine Nais, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. -Sarawakiana.

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA