Peniaga Didakwa Atas 4 Pertuduhan Sokong IS


SHAH ALAM: Seorang peniaga didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas empat pertuduhan memiliki bahan letupan dan menyokong perbuatan kumpulan militan Negara Islam (IS).

Tertuduh, Mohd Shaifful Shahril Ramli, 28, mengangguk tanda faham sebaik semua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Shakirah Mohtaruddin, namun tiada pengakuan direkodkan.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa memberi sokongan dengan cara menyokong perbuatan IS dan memuat naik aktiviti kumpulan itu melalui aplikasi Telegram atas nama Putra Zulkarnain dan Anonymous/Ananimous di No 3, Lorong Indah 1, Kampung Sri Indah B, Sungai Buloh, pada 25 Mac hingga 30 Jun 2016 dan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 130 J (1)(a) Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memberi sokongan kepada berlakunya perbuatan kumpulan pengganas sama juga melalui aplikasi sama dalam telefon bimbit miliknya, pada 26 Jun hingga 29 Jun 2016 di alamat sama dan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 130 J(1)(b) Kanun Keseksaan.

Tertuduh juga didakwa memiliki barangan berunsur keganasan berkaitan IS serta sehelai baju sejuk yang mempunyai lambang kumpulan di alamat sama, pada 22 Julai 2016 dan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 130 JB (1)(a).

Bagi pertuduhan keempat, tertuduh didakwa memiliki bahan letupan yang mengandungi campuran 'sadium chlorate' dan 'sucrose' di alamat sama, pada 22 Julai 2016 dan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 2 Akta Bahan Letupan 1957.

Siti Shakirah menetapkan 20 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan penyerahan dokumen sebelum kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi. -BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA