Penglibatan Tenaga Kerja Wanita Dipertingkat Menjelang 2020 - Nancy


SIMUNJAN: Kerajaan di bawah Rancangan Malaysia ke-11 menetapkan sasaran untuk meningkatkan kadar penglibatan tenaga kerja wanita daripada 54% pada 2014 kepada 59% menjelang 2020 kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hajah Nancy Shukri.

Menurutnya, hal demikian bagi memberi suntikan semangat kepada wanita untuk menonjolkan potensi dan keupayaan diri sebagai ‘rakan strategik’ dalam pembangunan negara.

“Bagaimanapun, sasaran ini tidak akan tercapai sekiranya golongan wanita terus menjadi mangsa penganiayaan dalam pelbagai bentuk sehingga menyebabkan mereka hilang keyakinan terhadap diri sendiri,” ujarnya.

Selain itu, beliau juga menyifatkan wanita adalah aset penting dan rakan kongsi negara yang setaraf kaum lelaki dalam memacu pertumbuhan dan kemakmuran negara.

Nancy yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong berkata wanita dilihat memainkan peranan penting terutamanya dalam pelaksanaan sesuatu pekerjaan.

“Lihat sahajalah, setiap kali ada penganjuran majlis-majlis, wanitalah yang akan bersama-sama memastikan perjalanan dan susun-atur majlis berjalan lancar,” tambahnya.

Beliau berharap golongan wanita di kawasan luar bandar menjadi golongan wanita yang berkeyakinan tinggi dalam menghadapi apa jua cabaran hidup.

"Sebab itulah saya sentiasa menyarankan wanita agar berdikari dan tidak terlalu bergantung kepada pendapatan atau kewangan suami. Wanita harus berfikiran jauh ke hadapan dan sentiasa membuat persiapan sekiranya berlaku perkara tidak diingini dalam rumahtangga," tegasnya.

Nancy berkata demikian pada Seminar ‘Memperkasa Wanita, Keluarga dan Undang-Undang’ yang di anjurkan oleh Yayasan Salam dan Pejabat Daerah Asajaya/Sadong Jaya. – Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA