Penglibatan Syarikat Bumiputera Dalam Industri Halal Masih Rendah


PEDAS: Tahap penglibatan syarikat Bumiputera dalam industri halal negara masih rendah iaitu hanya 30 peratus daripada sejumlah 6,458 syarikat pada tahun lepas.

Sehubungan itu, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Maslan berkata, kerajaan menggalakkan lebih banyak syarikat Bumiputera menceburi bidang industri halal berikutan penyertaan mereka yang terhad di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

“Saya kira ia angka berkenaan perlu diperbaiki dari segi penyertaan Bumiputera kerana produk halal ini sinonim dengan Islam serta Bumiputera itu sendiri.

“Angka (sedia ada) ini tidak memadai dan saya mengharapkan usaha-usaha oleh taman industri halal dapat menarik penglibatan lebih banyak lagi syarikat-syarikat Bumiputera,” katanya kepada media selepas melawat Taman Pengeluaran Produk Usahawan Pedas Halal Park di sini, kelmarin.

Turut hadir Pengerusi Eksekutif Muslim Best Marketing (M) Sdn Bhd Datuk Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad dan Pengarah Eksekutif Muslim Best Datuk Nik Izani Nik Ibrahim.

Menurut Ahmad, ada sejumlah 22 taman industri halal di seluruh negara dan 14 daripadanya menerima pengiktirafan sijil Halmas (Halal Malaysia) oleh Perbadanan Pembangunan Industri Halal Malaysia yang melayakkan pengendali taman industri halal, peserta industri serta pengendali logistik menikmati insentif serta galakan cukai.

Status Halmas merupakan satu lambang kecemerlangan bagi taman industri halal yang memiliki kualiti pengeluaran produk halal, berintegriti serta selamat.

“Antara insentif dinikmati oleh syarikat beroperasi di taman industri halal berstatus Halmas itu adalah pengecualian cukai 100 peratus selama 10 tahun bergantung kepada modal pelaburan sesebuah kilang.

“Oleh itu, saya menyeru syarikat-syarikat Bumiputera untuk menggunakan sepenuhnya 14 taman industri halal yang mempunyai status Halmas,” katanya.

Untuk rekod, setakat 22 Jun, terdapat 165 syarikat yang beroperasi di 22 taman industri halal di seluruh negara yang melibatkan pelaburan berjumlah RM11.7 bilion serta mewujudkan lebih 10,941 peluang pekerjaan. — Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA