Penghargaan Kepada Belia Bukan Retorik - PM


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan serius menterjemahkan penghar­gaan terhadap golongan belia dalam bentuk tindakan dan bukan sekadar bersifat retorik semata-mata.

Menurut Perdana Menteri, kerajaan sentiasa bersedia me­ne­rima setiap pandangan dan cada­ngan yang baik daripada golongan belia untuk dibawa ke Kabinet.

“Kita tidak mahu apabila sebut belia, hanya menghargai pe­ranan belia sebagai satu yang bersifat retorik sahaja tetapi mesti menterjemahkannya dalam bentuk tindakan yang melambangkan golongan berkenaan amat dihargai kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Persidangan Parlimen Belia yang berlangsung selama dua hari hingga esok di Parlimen hari ini.

Perdana Menteri sempat meluangkan masa selama satu jam untuk mengikuti perbahasan Persidangan Parlimen Belia.

Yang turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Perdana Menteri berkata, ke­pe­mimpinan belia mesti dipupuk dari awal kerana jika dilakukan sejak usia muda, maka bakat dalam kalangan pemimpin muda dari segi kepemimpinan, keilmuan, gaya dan segala galanya dapat dilonjakkan.

“Malah, saya boleh melihat dan mendengar serta merasai sendiri bahawa mereka yang berucap di Parlimen Belia sebentar tadi memang mempunyai bakat kepemimpinan yang baik sekali,” katanya.

Sementara itu, Najib menegaskan, kerajaan juga sentiasa bersikap terbuka untuk menerima sebarang teguran yang tidak betul daripada golongan belia.

“Sebagai sebuah kerajaan, kita bersikap terbuka dan jika ada orang kata kita sebuah negara diktator atau autokratik, perkara itu adalah tidak benar. Kita beri peluang seluas-luasnya tidak semestinya jika terpilih sebagai Ahli Parlimen Belia, mereka wajib sokong kerajaan, tidak. Sokonglah kerajaan jika kita berada di pihak yang benar.

“Namun, jika kita melakukan perkara yang tidak betul, tolong tegur dengan baik dan janganlah buat demonstrasi jalanan atau referendum rakyat sebab ia not our cup of tea (bukan cara kita). Setiap tindakan mesti selari de­ngan Perlembagaan,” tegasnya.

- Utusan Malaysia

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA