Pengawal Keselamatan Bawah Umur Ditahan


KUALA LUMPUR: Seorang pengawal keselamatan bawah umur ditahan kerana menggunakan kad pengenalan palsu dalam operasi oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di sebuah sekolah menengah di ibu negara, awal pagi tadi.

Ketua Pengarah JPN, Mohd Yazid Ramli, berkata ketika pemeriksaan jam 12.30 tengah malam, lelaki berusia 19 tahun itu dikatakan melarikan diri dengan menyorok di belakang bangunan sekolah bagi mengelak diperiksa.

Bagaimanapun, katanya, lelaki yang bertugas di pos kawalan sekolah itu berjaya ditahan. "Pengawal itu bertugas di pos kawalan sekolah berkenaan dan ketika diperiksa, dia mengaku berasal dari Sabah.

"Namun, semakan mendapati kad pengenalan digunakan adalah palsu dan berasal dari Mindanao, Selatan Filipina," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Yazid berkata, dalam satu lagi operasi di kawasan kediaman di Kepong, pengawal keselamatan turut ditahan kerana menggunakan kad pengenalan milik orang lain sebagai pengenalan diri.

Beliau berkata, pemeriksaan ke atas lelaki berusia 32 tahun itu mengaku berasal dari Mindanao, Selatan Filipina dan berbangsa Yakan. \

Katanya, kedua-dua lelaki itu ditahan mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) dan akan dituduh di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, Jalan Duta, pagi ini.

"Operasi membabitkan lima anggota dan pegawai dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JPN Putrajaya ini dilakukan hasil maklumat dan aduan orang awam.

"Pemeriksaan ke atas pengawal keselamatan ini akan dilakukan secara berterusan, terutama di premis kerajaan bagi memastikan semua pengawal keselamatan yang bertugas menggunakan dokumen pengenalan diri sah dan tulen.-BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA