Penat Kembara 1,000 KM, Gajah Hanyut Banjir Mati Keletihan


DHAKA – Seekor gajah betina yang dikatakan sudah mengembara lebih 1,000 kilometer (km) dari India ke Bangladesh selepas terpisah daripada kumpulannya akibat banjir, akhirnya mati setelah diselamatkan.

Mamalia gergasi itu terpaksa dibius sebanyak tiga kali dalam usaha untuk memindahkannya ke sebuah taman safari di Bangladesh selepas dihanyutkan banjir pada akhir Jun lalu.

Menurut salah seorang pegawai pemuliharaan Bangladesh, Ashit Ranjan Paul, mamalia betina itu menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 7 pagi pada 16 ogos lalu.

“Kami sudah sedaya upaya untuk menyelamatkannya. Sekurang-kurangnya 10 anggota pegawai perhutanan, doktor haiwan dan polis membuat pemerhatian selama 48 hari ke atasnya,” jelas Paul.

Tambah seorang doktor haiwan tempatan, sekumpulan penduduk kampung datang membantu bagi memastikan gajah itu tidak tumbang di dalam kolam.

“Berpuluh-puluh penduduk terjun ke dalam kolam dan membantu kami mengikat haiwan itu dengan tali dan rantai. Akhirnya, kami dapat menariknya ke kawasan kering,” kata seorang penduduk, Sayed Hossain.

Bagaimanapun, pihak media tempatan menuding jari kepada pihak pemuliharaan di atas kematian gajah tersebut berpunca daripada pembiusan yang berlebihan menyebabkan haiwan gergasi itu terlalu lemah untuk berdiri.

Namun, dakwaan itu disangkal oleh Paul dan menegaskan bahawa gajah itu mati akibat keletihan kerana terpaksa mengembara sejauh 1,000 km.

“Akibat terlalu letih kerana berjalan terlampau jauh dan terpisah dari kawanannya selama lebih dari dua bulan serta tidak mendapat nutrisi yang seharusnya dia peroleh,” jelas Paul. – MYNEWSHUB.CC

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA