Pemerdagangan Manusia: Thailand Setuju Ekstradisi 10 Warganya - Zahid


PUTRAJAYA: Thailand bersetuju dengan permintaan Malaysia untuk mengekstradisi 10 warga negara itu yang dipercayai dalang kes pemerdagangan manusia di sempadan kedua-dua negara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata 10 individu yang berumur antara 35 hingga 60 tahun itu dikenal pasti terbabit dalam kes penemuan kubur besar di Wang Kelian, Perlis, pada Mei tahun lalu.

Beliau berkata berdasarkan maklumat pihak berkuasa Thailand, individu yang sangat dikehendaki oleh pihak berkuasa Malaysia itu sebahagiannya sudah ditahan oleh Thailand manakala sebahagian lagi masih bebas.

"Mereka perlu diekstradisi bagi membolehkan tindakan perundangan dikenakan terhadap mereka. Kita tidak mahu masyarakat antarabangsa memandang bahawa kes itu hanya dilakukan oleh pihak Malaysia, tetapi ia melibatkan jenayah rentas sempadan," katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian dalam sidang media di sini hari ini selepas mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatannya dari Thailand, Jeneral Prawit Wongsuwan, yang juga Menteri Pertahanan Thailand, yang melakukan kunjungan hormat terhadap beliau bersempena lawatan kerja seharinya ke Malaysia. - AWANI

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA