Pemegang Unit ASW 2020 Dapat Bayaran Dividen 6.30 Sen


KUALA LUMPUR: Amanah Saham Nasional Bhd, anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB), hari ini mengumumkan dividen 6.30 sen bagi unit Amanah Saham Wawasan 2020 (ASW 2020) bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Ogos, 2016.

Dividen itu merupakan penurunan 0.10 sen seunit daripada 6.40 sen yang diisytiharkan tahun lepas.

Bercakap pada sidang akhbar sulungnya sebagai Pengerusi PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata agihan pendapatan tahun ini melibatkan jumlah pembayaran sebanyak RM1.146 bilion dan memberi manfaat kepada 878,000 pemegang unit, yang ketika ini memegang 18.193 bilion unit ASW 2020.

Beliau berkata dividen 6.30 sen itu adalah baik memandangkan keadaan tidak menentu dalam pasaran tempatan tahun ini yang menjejaskan prestasi FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI).

Sehingga 24 Ogos, ASW 2020 mencatatkan pendapatan kasar RM1.394 bilion.

Daripada jumlah ini, keuntungan daripada jualan saham menyumbang RM735.83 juta atau 52.8 peratus, keseluruhan pendapatan hasil dividen daripada syarikat penerima pelaburan menyumbang RM451.7 juta atau 32.4 peratus.

Baki RM206.84 juta atau 14.8 peratus diperoleh daripada instrumen jangka pendek dan pendapatan lain.

Agihan pendapatan akan dilabur semula secara automatik dalam bentuk unit, yang akan dikreditkan ke akaun pemegang unit pada 1 Sept.

Semua urus niaga bagi ASW 2020 digantung bermula semalam sehingga 31 Ogos bagi memudahkan pengiraaan agihan pendapatan.

Semua pemegang unit boleh mengemas kini akaun mereka di mana-mana cawangan atau ejen ASNB di seluruh negara bermula 1 Sept.- BERNAMA




No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA