Pembantu 'Datuk' Didakwa Bersubahat


MIRI: Pembantu peribadi kepada seorang lelaki bergelar ‘Datuk’ hari ini didakwa di Mahkamah Majistret Miri berhubung kes pembunuhan Setiausaha PKR Miri, Bill Kayong.

Chin Wui Chung, 50, didakwa bersubahat dengan Lie Chang Loon; Datuk Lee Chee Kiang, yang masih bebas; dan Mohamad Fitri Pauzi, dalam pembunuhan itu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 302 kanun sama dan boleh dikenakan hukuman mati mandatori, jika disabitkan kesalahan.

Chang Loon, 39, didakwa mengikut seksyen sama Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Miri pada 15 Julai manakala Chee Kiang dilaporkan melarikan diri ke Australia dari Singapura pada 3 Julai.

Polis telahpun mendapatkan bantuan Interpol untuk mengesannya, yang dipercayai menjadi dalang pembunuhan itu.

Fitri, 29, didakwa di mahkamah sama pada 15 Julai mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang kelihatan tenang ketika jurubahasa mahkamah membacakan pertuduhan terhadapnya dalam bahasa Mandarin di hadapan Pendaftar Mahkamah Rendah Nuur Hafiza Yatim yang kemudiannya menetapkan 23 September untuk sebutan semula.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Izzat Wan Abdullah mewakili pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam Ranbhir Singh Sangha.

Wui Chung menyerah diri di Balai Polis Miri pada 18 Ogos jam 4.50 petang dengan ditemani peguamnya.

Selain Chee Kiang, yang merupakan pemilik syarikat perladangan, polis turut mengesan seorang lelaki berumur 35 tahun, pemilik sebuah pusat karaoke.

Kayong, 43, yang nama Islamnya Mohd. Hasbie Abdullah, mati ditembak di dalam kenderaan Toyota Hilux kepunyaannya kira-kira 8.30 pagi pada 21 Jun di persimpangan lampu isyarat berhampiran pasaraya E-Mart di Jalan Miri-Bintulu, Lutong.

- BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA