Pembaharuan Ekonomi Kerajaan Berjaya Kurangkan Jurang PNK Per Kapita - Idris Jala

KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Pelaksanaan pelbagai program pembaharuan ekonomi oleh kerajaan berjaya mengurangkan jurang Pendapatan Negara Kasar (PNK) per kapita mengikut standard Bank Dunia kepada 15 peratus pada tahun lepas berbanding 33 peratus pada 2009.

Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (PEMANDU) Datuk Seri Idris Jala berkata ia jelas membuktikan usaha kerajaan meningkatkan status Malaysia kepada negara berpendapatan tinggi sejak enam tahun lepas, sudah mula menampakkan hasilnya.

"Kita sudah boleh melihat kesannya hari ini," katanya kepada wartawan selepas menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara KLSMC Stem Cells Sdn Bhd dan Stanford University, Amerika Syarikat.

KLSMC Stem Cells adalah anak syarikat Pusat Perubatan Sukan Kuala Lumpur (KLSMC), pusat perubatan swasta yang menumpukan usaha merawat kecederaan berkaitan sukan.

Idris turut berkongsi rasa optimisnya bahawa Malaysia juga berada di landasan untuk muncul sebagai ekonomi berpendapatan tinggi dan 2020 adalah tahun ideal untuk mencapai status itu biarpun negara ini mampu meraihnya lebih awal.

Tegasnya, sebarang usaha memacu negara mencapai status itu sebelum 2020 akan hanya memberi tekanan kepada bajet kerajaan yang sedia terhad.

Malah, ia juga berkemungkinan menyebabkan kerajaan terpaksa meminjam lebih banyak wang bagi tujuan perbelanjaan pembangunan, sekaligus menjejaskan keadaan fiskal kerajaan.

Sementara itu, MoU yang dimeterai KLSMC Stem Cells dan Stanford University itu adalah antara usaha bagi mendapatkan pensijilan agensi AS, Pentadbir Makanan dan Ubat-Ubatan AS (FDA) bagi teknologi sel tunjang yang digunakan bagi penjanaan rawan artikular.

Di bawah persepakatan itu, KLSMC Stem Cells akan menjadikan Stanford University sebagai salah satu lokasi klinikalnya di AS.

KLSMC Stem Cells juga akan bekerjasama erat dengan universiti itu bagi mendapatkan geran penyelidikan antarabangsa untuk mempercepatkan pembangunan teknologi serta menyediakan penyelesaian bagi kecederaan rangka otot yang lain. -- BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA