Pemain Kanada Pecah Rekod Gol Terpantas Olimpik


RIO DE JANEIRO – Permulaan yang gemilang ditunjukkan pasukan bola sepak wanita Kanada di Sukan Olimpik 2016 di sini dalam aksi perlawanan pertama peringkat Kumpulan F.

Pemenang pingat gangsa Olimpik 2012 di London itu menang ke atas Australia 2-0. Bukan itu sahaja, pemain Janine Beckie berjaya menjaringkan gol terpantas dalam Olimpik iaitu dalam masa hanya 20 saat selepas wisel permulaan.

Dia yang berusia 21 tahun, berjaya memanfaatkan peluang ketika berada dalam kotak penalti setelah mendapat umpanan daripada rakannya, pemain sayap kanan Christine Sinclair untuk melepasi benteng pertahanan Australia.

Sinclair juga menjaringkan gol kedua untuk Kanada. Sekadar rekod, gol terpantas dicatatkan dalam sejarah ialah 2.2 saat yang dijaringkan Nawaf Al Abed pada 2010 ketika pasukannya, Al Hilal menewaskan Al Shoalah dengan 4-0.

Di peringkat Piala UEFA pula, gol paling pantas direkodkan ialah 9 saat oleh Davide Gualtieri yang mewakili San Marino ketika pasukannya bertemu England pada 1994 dalam Kumpulan 2.

Manakala di peringkat Piala Dunia FIFA, gol terpantas pernah dilakar oleh pemain Turki, Hakan Sukur ketika negaranya menentang Korea Selatan pada 2002 lalu iaitu 11 saat.

Beckie menjaringkan gol ke-11 untuk penampilan ke-22 mewakili pasukan kebangsaan itu. Dalam perlawanan menentang Australia, Beckie mendapat tendangan penalti tetapi ditepis penjaga gol Australia, Lydia Williams.

Malangnya, kemenangan Kanada menerima ‘ucapan tahniah’ dengan kad merah dilayangkan kepada Shelina Zadorsky. Pemain tengah Kanada itu melakukan pelanggaran kasar terhadap pemain Australia, Michelle Heyman.

Pasukan Kanada akan turun untuk perlawanan kedua menentang pasukan lemah iaitu Zimbabwe, Sabtu ini manakala Australia pula akan melawan Jerman, pada hari yang sama.

Pasukan wanita Jerman sendiri menang besar ketika berdepan Zimbabwe dalam perlawanan pertama mereka apabila menumbangkan lawan dengan kemenangan 6-1. – MYNEWSHUB.CC

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA