Peluang Jalankan Penyelidikan Aktif Dialukan


KUCHING: Sarawak mengalu-alukan peluang untuk menjalankan penyelidikan secara aktif bagi menjana produk demi memperbaiki kewujudan manusia dan persekitaran global.

Justeru, Menteri Muda Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh berharap penyelidikan yang bersifat antara disiplin, pelbagai disiplin dan trans-disiplin dapat dijalankan dalam kerjasama antara institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan dan antarabangsa.

Pada masa sama, beliau juga berharap agar inisiatif dijalankan untuk membentuk jalinan penyelidikan antara universiti dan industri.

“Universiti di negara kita perlu berusaha sedaya upaya untuk menjamin persekitaran penyelidikan yang dilengkapi dengan baik untuk menggalakkan hubungan tempatan dan antarabangsa.

“Dengan penyelidik yang bersemangat, infrastruktur yang wajar dipuji, persekitaran kondusif dan kolaborator yang komited, universiti-universiti mempunyai peluang untuk menyumbang dengan signifikan bukan sahaja ke arah pembangunan industri berasaskan kimia tetapi juga penjanaan pengetahuan saintifik yang baharu.

“Maka menerusi aktiviti penyelidikan, pengetahuan baharu akan dapat dihasilkan dan pencapaian serta inovasi dibuat.

“Ini selari dengan program yang digariskan dalam Dasar Sains & Teknologi (S&T) kedua negara iaitu untuk memaksimumkan penggunaan dan kemajuan S&T sebagai alat untuk melestarikan pembangunan ekonomi, penambahbaikan dalam kualiti hidup serta keselamatan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Perasmian Persidangan Sintesis Organik Antarabangsa (ICOS) 2016 di Hotel Riverside Majestic di sini, kelmarin.

Turut hadir Rektor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak Profesor Datuk Dr Jamil Hamali dan pengerusi jawatankuasa pelaksana ICOS 2016 Profesor Madya Dr Zainab Ngaini.

Bidang kimia organik memberi kesan yang sangat mendalam kepada kehidupan moden.

Ia sudah menambah baik bahan semula jadi dan dapat digunakan untuk mensintesiskan sebatian asli dan tiruan yang seterusnya menambah baik kesihatan, meningkatkan keselesaan dan menambah kepada kemudahan bagi hampir setiap produk yang dibuat pada hari ini.

Petrokimia, farmaseutikal, kimia khas dan produk pengguna adalah beberapa contoh industri berasaskan kimia di seluruh dunia.

Justeru, Len berkata Sarawak yang juga mempunyai banyak industri pembuatan dan dengan sumber alamnya yang melimpah, ekonomi Sarawak amat berorientasikan eksport di mana beberapa penyumbang utama dalam industri-industri ini adalah makanan dan minuman, produk logam asas dan produk petrokimia.

Sementara itu, beliau yang juga Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Tenaga Kerja dan Latihan) turut menyeru UiTM dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) bersama-sama memainkan peranan bukan sahaja dalam bidang khusus seperti sintesis organik dan bahan lanjutan tetapi juga sebagai pusat untuk melatih saintis masa depan menerusi program pasca mahasiswa masing-masing.

“Ini adalah sejajar dengan salah satu strategi pengajian tinggi kerajaan untuk meningkatkan jumlah graduan peringkat ijazah doktor falsafah terutama dalam sains di Malaysia,” katanya. - UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA