Pelajar Tingkatan Lima Di Sarawak Terima Komputer Riba


PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak yakin program perintis membekalkan komputer riba untuk 33,000 pelajar tingkatan Tingkatan Lima di sekolah seluruh Sarawak akan membuahkan hasil memberangsangkan.

Perdana Menteri berkata, proses pengagihan komputer riba berkenaan dijangka selesai menjelang bulan depan, sekali gus membantu mereka menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Ketika tinjauan mesra saya di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Ladong, Sarawak (April lalu), saya melahirkan hasrat supaya proses pembelajaran di Sarawak ditingkatkan dengan memberi kemudahan seperti komputer riba untuk pelajar.

"Dengan tertunainya janji ini, saya yakin kita akan lihat pencapaian pelajar Sarawak yang lebih memberangsangkan pada masa akan datang.

"Ini menunjukkan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri untuk terus membangunkan Sarawak terutama dalam pembangunan modal insan, akan membuahkan hasil," katanya pada majlis simbolik penyerahan komputer riba kepada lima pelajar dari Sarawak di pejabatnya di Perdana Putra, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem; Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Tan Sri Dr Madinah Mohamad.

Kamalanathan pada sidang media selepas majlis berkenaan, berkata komputer riba berkenaan diedar secara pinjaman kepada pelajar Tingkatan Lima dan akan digunakan oleh calon SPM tahun berikutnya.

"Program bertujuan meninggikan pencapaian akademik ini sama seperti skim pinjaman buku teks. Sekiranya projek rintis ini berjalan lancar, kita akan pertimbangkan untuk diperluaskan ke negeri lain," katanya.- BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA